October 20, 2011

Belanjawan 2012 semarakkan program transformasi

KUALA LUMPUR 19 Okt – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Belanjawan 2012 yang dibentangnya 7 Oktober lepas akan menyemarakkan lagi program transformasi negara yang merangkumi kerajaan, ekonomi dan politik untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Perdana Menteri berkata, pembentangan belanjawan itu juga diharap dapat memenuhi sebahagian janjinya kepada rakyat seperti yang terangkum dalam prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Transformasi yang kita sedang alami ini perlu memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan hanya segelintir kumpulan sahaja.

“Transformasi ini berpaksikan janji saya kepada anda dan semua Rakyat Malaysia yang disebut pertama kalinya pada April 2009 lalu.

“Pembentangan Belanjawan adalah sebahagian daripada janji ini dan pada Jumaat 7 Oktober lepas, saya harap sebahagian daripada janji ini telah dipenuhi.

“Saya telah nyatakan sebelum ini, ianya bukanlah satu penyelesaian yang muktamad tetapi ianya akan menyemarakkan lagi perjalanan transformasi kita dan ianya terangkum dalam prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya dalam entri terkini blog www.1Malaysia.com.my hari ini.

Menghargai reaksi positif rakyat terhadap Belanjawan 2012, sama ada yang disampaikan melalui blog, Facebook, Twitter (juga secara bersemuka), atau dalam penerbitan dan laman web lain, Najib berkata, kerajaan seperti juga rakyat, mahu memastikan negara terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan berterusan yang dapat dinikmati dalam suasana harmoni.

“Saya juga maklum tentang keraguan yang dinyatakan oleh sebahagian dari anda,” katanya.

Justeru, kata Perdana Menteri, di dalam Belanjawan itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar kini.

Ini termasuk bayaran RM500 untuk semua isi rumah di Malaysia dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 atau ke bawah; pembiayaan baru bagi program anti-kemiskinan 1Malaysia KAR1SMA, dengan bantuan kepada warga tua miskin sebanyak RM300 sebulan dan RM100 sebulan kepada kanak-kanak miskin serta membantu golongan OKU.

Yang lain termasuk rangsangan terhadap pembangunan perumahan awam dan swasta bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah; pemansuhan yuran tahunan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta baucer buku RM200 untuk semua rakyat Malaysia yang sedang menuntut dalam Tingkatan 6 dan di institusi pengajian tinggi seluruh negara, katanya. – BERNAMA

No comments: