October 7, 2011

Setiap calon BN akan disokong

MIRI: Rakyat di konstituensi Bekenu akan tetap memberi sokongan dan kepercayaan kepada mana-mana calon Barisan Nasional (BN) yang diletakkan di kerusi Parlimen Sibuti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu Rosey Yunus berkata meskipun keputusan pencalonan terletak di tangan pihak atasan, rakyat Bekenu akan memastikan individu berkenaan mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Kita tidak tahu siapa calon yang bakal bertanding bagi kerusi terbabit namun bagi kita selagi individu itu mewakili kerajaan BN, maka sudah pasti rakyat memberi kepercayaan dan sokongan kepada beliau,” katanya.

Selain itu katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu cukup membuktikan bahawa majoriti penduduk di Parlimen Sibuti masih berpegang teguh dan menaruh kepercayaan kepada BN.

“Dua kerusi DUN masing-masing bagi Bekenu dan Lambir telah dimenangi oleh calon BN dan kita percaya pada PRU akan datang, kerusi Parlimen Sibuti akan memihak kepada BN bersandarkan kepada prestasi PRN yang lalu,” ujarnya.

Rosey yang juga Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga menyifatkan rakyat sudah menilai prestasi cemerlang terhadap angin perubahan yang dibawa kerajaan BN.

“Selagi kerajaan BN mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat, maka kita percaya rakyat Sarawak terutama di Bekenu akan terus menerima pelbagai sentuhan pembangunan daripada kerajaan,” katanya.

Rakyat di konstituensi Bekenu katanya telah menikmati pelbagai bentuk kemajuan bahkan taraf hidup penduduk turut meningkat di bawah pentadbiran kerajaan BN yang prihatin dengan keperluan rakyat.

“Jika dahulu penduduk di kawasan luar bandar Bekenu sukar dihubungi, tetapi kini tidak lagi setelah kerajaan menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya bagi memudahkan penduduk berulang-alik ke bandar,” jelasnya.

Tidak terhenti di situ katanya, kerajaan terus menyalurkan kemudahan kepada rakyat termasuk bekalan elektrik dan air ke rumah-rumah panjang dan kampung-kampung, selain menaik taraf jalan-jalan kampung.

No comments: