October 20, 2011

Keselamatan penoreh getah diancam

SIBU: Seramai 16 penduduk Nanga Salim dekat sini membuat laporan polis selepas diugut dan diancam keselamatan mereka oleh seorang lelaki berketurunan Cina agar tidak menoreh di sebuah kebun getah di situ pagi Selasa lepas.

Menurut salah seorang daripada pengadu tersebut, mereka telah mendapat kebenaran untuk menoreh di kebun getah yang berkeluasan lebih 100 ekar oleh seorang tauke iaitu pemilik tanah yang sebenarnya sejak lebih lapan tahun lalu.

Katanya, mereka terasa tergugat dan bimbang selepas seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tiba-tiba muncul dan mendakwa mereka (penduduk Nanga Salim) telah menceroboh kawasan kebun getahnya.

Terdahulu, lelaki tersebut yang memandu sebuah Toyota Hilux telah berpesan kepada salah seorang daripada penduduk di situ agar memberitahu penoreh-penoreh getah di situ untuk berjumpa dengannya di dalam kebun getah berkenaan pada jam 8.00 pagi Selasa itu.

Lebih 30 orang penduduk kampung itu datang berjumpa dengan lelaki tersebut sekitar jam 8.00 pagi itu.

Seorang warga tua turut berjumpa dengan lelaki yang tidak dikenali itu dan mereka telah tidak dibenarkan menoreh di kawasan berkenaan lagi dalam masa dua tiga minggu akan datang.

Lelaki tersebut yang membawa sebilah parang dan ditemani seorang lelaki dipercayai warga Indonsia turut mengancam nyawa mereka jika mereka mengingkari kata-katanya.

Lelaki tersebut juga membawa peta kawasan kebun getah berkenaan yang didakwa miliknya.

Menurut mereka lagi, seramai tujuh warga Indonesia telah bermalam di sebuah pondok di kebun getah berkenaan sejak seminggu yang lalu.

Penduduk kampung juga pernah bertanya kepada tujuh orang warga Indonesia tersebut yang memberitahu bahawa mereka mengaku tidak mempunyai permit kerja mahupun pasport yang sah.

Pada sebelah petang itu sekitar jam 3.00 petang penoreh-penoreh getah Nanga Salim telah bertemu dengan seorang cucu lelaki kepada pemilik tanah yang sebenarnya di sebuah kedai kopi berdekatan dengan pasar raya di Jalan Salim.

Difahamkan cucu kepada pemilik tanah berkenaan memberitahu mereka agar terus menoreh getah di tanahnya.

“Saya telah mengenali pemilik tanah tersebut sejak bertahuntahun lagi dan menasihati kami membuat laporan polis sekiranya ada individu yang cuba buat kacau di kebun getahnya,” kata salah seorang penoreh getah yang terbabit.

Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih 16 orang penoreh getah dari Nanga Salim telah membuat laporan polis terhadap lelaki yang menghalang mereka daripada menoreh getah di situ.

No comments: