October 29, 2011

Sibu alami transformasi besar dalam 30 tahun

Daripada bandar kecil, Sibu berkembang pesat dan harungi perubahan fizikal lebih kondusif: Wong

TRANSFORMASI BANDAR SIBU: Wong (dua kiri) melihat lebih dekat Pameran Pembangunan Sibu sambil ditemani oleh (dari kiri) Hii, Lau dan See Meng.

SIBU: Pembangunan Sibu melalui transformasi besar dalam tempoh 30 tahun merangkumi perubahan fizikal bandar yang lebih kondusif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, Sibu berkembang pesat dan maju dalam tempoh tersebut.

“Jika dikenang kembali, bandar Sibu suatu ketika dahulu bandar yang tidak begitu indah seperti yang kita lihat pada hari ini. Saya masih ingat terdapat gerai-gerai kecil di mana-mana sahaja.

“Tak kisah di mana-mana tempat adanya gerai-gerai kecil, di sepanjang jalan dan di lorong belakang. Pasar Lembangan pada ketika itu sangat kotor dan peniaga terpaksa bertahan demi menjalankan urus niaga,” jelasnya.

Wong berkata demikian ketika menyempurnakan Pameran Pembangunan Sibu sempena Ulang Tahun Ke-30 Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di Pusat Pameran dan Perdagangan Sibu, semalam.

Katanya lagi, dalam tempoh 30 tahun pembangunan bandar Sibu, kerajaan tempatan telah menukar sistem laluan jalan raya lebih mesra kenderaan dan memperkenalkan sistem lampu isyarat untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Untuk meningkatkan jaringan perhubungan, kerajaan telah membina banyak jambatan yang menghubungkan bandar Sibu ke bahagian lain yang berdekatan.

“Tidak ada bandar lain di Sarawak di mana anda boleh menemui banyak jambatan yang menghubungkan bandar sesebuah bandar ke bandar lain seperti Sibu.

“Sibu kini telah menjadi pusat intelek bagi Kapit, Song, Kanowit, Sarikei dan sebagainya,” ujar beliau yang juga Menteri Kewangan Kedua.

Wong berharap transformasi Sibu menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih besar pada masa akan datang demi manfaat penduduknya.

“Terdapat 10 industri utama yang terlibat sebagai jentera pembangunan negeri dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya lagi.

Menurut Wong, pelabur dari Australia telah melawat negeri ini untuk membincangkan tentang kemungkinan membuka sebuah kilang peleburan baru-baru ini.

“Jika mereka berbuat demikian, maka syarikat tunggal akan dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar Dalam Negeri (KDNK) sebanyak 20 peratus,” jelas beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi MPS merangkap Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha MPS Daniel Ngieng Kiong Ann dan Hii Chang Kee.

Hadir sama ialah Residen Sibu Sim Kok Kee, Pegawai Daerah Sibu Wong See Meng dan Temenggung Vincent Lau Lee Ming serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).


No comments: