Jangan mudah diperguna pihak berkepentingan yang boleh jejas keharmonian
KOTA SAMARAHAN: Mahasiswa dan mahasiswi universiti terutamanya ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diingatkan agar tidak mudah dipergunakan oleh mana-mana pihak berkepentingan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali berkata, sebaliknya mereka perlu lebih profesional dan rasional.
“Di atas bahu anda semua tertanggung satu amanah berat untuk membawa pelbagai isu dan agenda kesiswaan dengan profesional dan penuh diplomasi.
“Dengan disertakan watak yang waras, rasional dan matang dan tidak dicemari tingkah laku bersifat konfrontasi, emosi dan sentimen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian dan penutupan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia 2011 di UiTM Kampus Sarawak di sini, semalam.
Jamil berkata, perwakilan pelajar terutamanya sebagai pemimpin yang berilmu perlu menangani sesuatu isu dengan berhemah dan bertindak dengan rasional serta bersifat terbuka.
“Jauhilah diri daripada bersikap emosi semasa membuat sesuatu tindakan kerana ia bukan sahaja akan merosakkan nama anda tetapi juga nama serta imej universiti,” tegasnya.
Beliau pada masa yang sama berharap perwakilan pelajar bukan sahaja setakat memimpin mahasiswa dan siswi di kampus sahaja tetapi melangkaui kawasan mereka itu.
Jamil berkata, MPP merupakan suara mahasiswa dan mahasiswi yang boleh bertindak secara proaktif dalam melicinkan pentadbiran universiti.
“Melalui konvensyen sebegini ia akan mempertajamkan minda ke arah menjana kecemerlangan kepimpinan mahasiswa dalam konteks sebagai aset mengurus kejayaan negara pada masa depan,” katanya.
Konvensyen bertemakan ‘Empowering Student-Changing The Mindset’ dihadiri kira-kira 106 ahli MPP dari cawangan UiTM seluruh negara.
Hadir sama Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Profesor Madya Wan Akil Tuanku Abdullah, Yang Dipertua MPP UiTM Se-Malaysia Mohd Farid Zuhri Ismail dan Yang Dipertua MPP UiTM Sarawak Hairul Hafiz Yusuf.
No comments:
Post a Comment