October 29, 2011

Banjir landa barat Bangkok, bergerak ke pusat bandar raya

BANGKOK 29 Okt. – Banjir di ibu negara ini terus merebak ke bahagian barat dan bergerak perlahan menuju pusat bandar raya ekoran sedikit limpahan air Sungai Chao Phraya.

Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra hari ini mengarahkan penduduk di daerah Thawi Wattana di bahagian barat Bangkok berpindah memandangkan air terus naik.

Sebelum ini, penduduk di bahagian utara Bangkok iaitu daerah-daerah Don Mueang dan Sai Mai serta daerah Bang Phlad di bahagian barat dipindahkan.

Banjir telah merebak ke kawasan lain di barat Bangkok hari ini seperti Charon Santiwong, Chinatown dan Talad Thai, pasar buah-buah dan sayuran segar terbesar di bandar raya ini.

Beberapa kawasan di daerah Bang Khen di bahagian Barat Bangkok masih digenangi air sejak semalam.

Daerah Thon Buri yang hampir dengan pusat bandar raya, terus kritikal selepas ditenggelami air pada paras antara 50sm dan 1 meter sejak semalam. – Bernama

No comments: