November 17, 2012

KDNK suku ketiga 5.2 peratus



KUALA LUMPUR 16 Nov. - Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga berbanding 5.8 peratus pada suku yang sama tahun lalu walaupun negara menghadapi suasana ekonomi yang mencabar.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, seperti yang dijangkakan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku ketiga sedikit terjejas berikutan pasaran eksport yang menyusut.
Katanya, terdapat kelemahan dalam permintaan pasaran dari luar negara terutamanya dalam eksport barangan dan perkhidmatan.
Menurut beliau, eksport bersih negara menyusut tiga peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala import negara tumbuh dengan lebih pantas.
"Persekitaran ekonomi dunia kekal mencabar dalam suku ketiga tahun ini.
"Dalam tempoh yang sama, pertumbuhan dalam kalangan negara-negara maju juga tidak seimbang walaupun ekonomi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan peningkatan manakala beberapa negara lain masih lemah,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada sewaktu membentangkan prestasi ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga di sini hari ini.
Permintaan domestik telah berkembang sebanyak 11.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala pada suku kedua pada 14 peratus.
Zeti berkata, BNM menyemak semula KDNK suku pertama kepada 5.1 peratus daripada 4.7 peratus dan kedua kepada 5.6 peratus daripada 5.2 peratus.
Ketika ditanya mengenai pertumbuhan ekonomi pada tahun ini, Zeti berkata, KDNK sepatutnya mencapai lima peratus atau lebih baik.
Katanya, permintaan domestik akan terus mengukuh sepanjang tahun ini dengan kadar penggunaan yang tinggi.
Malah, jelas beliau, KDNK pada suku keempat dijangka tumbuh sederhana seperti mana yang dicapai pada suku ketiga dengan domestik terus mengukuh.
"Aktiviti ekonomi di Asia juga didapati tumbuh pada paras sederhana,'' ujarnya.
Tambah Zeti, sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian di negara ini menunjukkan pertumbuhan dan perluasan dengan baik pada suku ketiga berbanding perkilangan dan perlombongan yang menunjukkan penyusutan.
Katanya, pertumbuhan dalam sektor pembinaan dipacu oleh sub sektor kejuruteraan sivil.
"Sektor pembinaan dijangka kekal teguh pada tahun depan,'' jelasnya

No comments: