November 17, 2012

China kekal rakan dagang terbesar Malaysia



KUALA LUMPUR 16 Nov. - Hubungan dagangan Malaysia dan China dijangka kekal kukuh pada tahun ini, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Malah, beliau berkata, China juga merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.
"Sektor perniagaan di China akan terus kukuh untuk menjadi peneraju ekonomi di Asia,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga di sini hari ini.
Zeti diminta menjawab soalan pemberita mengenai China yang masih berwibawa untuk kekal menjadi pemimpin ekonomi Asia pada waktu ini.
Ketika ditanya sejauh mana garis panduan baharu BNM mengenai pinjaman membantu meletakkan paras hutang isi rumah pada paras sederhana, Zeti berkata, bank pusat itu turut memantau perkembangan tersebut.
Katanya, setakat ini, keadaan itu terkawal dan pihaknya memantau dengan hati-hati terhadap pembiayaan untuk kegunaan peribadi.
"Setakat ini, kadar hutang tidak berbayar (NPL) masih rendah dan ia terkawal.
"Kuasa layak kredit yang terkawal dan meningkat pada waktu ini juga memberi akses yang baik kepada pinjaman bank,'' ujarnya.
Tambah Zeti, sektor perbankan juga mempunyai Sistem Maklumat Pusat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mampu mengawal hutang isi rumah daripada terus meningkat.

No comments: