November 25, 2012

2,100 golongan memerlukan harapkan hajat mereka dikabul sempena Krismas



KUCHING: Seramai 2,100 golongan memerlukan mengharapkan hajat mereka akan dikabulkan sempena Hari Krismas akan datang.
Menurut Kapten The Boys Brigade Malaysia Sim Tze Sian, pihaknya setakat ini hanya berjaya mengumpul lebih kurang 600 barangan hajat terbabit.
Bagaimanapun beliau menyatakan harapan agar orang ramai di sekitar kawasan Kuching dapat membantu menunaikan hajat kanak-kanak, orang tua dan keluarga yang memerlukan ini.
“Antara barangan yang menjadi hajat mereka adalah seperti barang permainan, alat tulis, seragam sekolah, buku cerita, pakaian bayi, buku latihan, buku mewarna, beg sekolah dan pakaian.
“Juga makanan kering seperti mi segera, beras, makanan dalam tin dan peralatan rumah,” katanya.
Kaunter BB Love Box dibuka setiap hari bermula 17 November hingga 15 Disember dari jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari di Crown Square, Pending.
Sim turut mengingatkan penderma agar datang ke kaunter terlebih dahulu untuk mengambil hajat yang ingin dipenuhi dan kembali semula bersama hadiah dan hajat terbabit.
Beliau memberitahu bahawa pada 22 Disember akan diadakan parti di Crowne Tower, Pending untuk 100 penerima yang kurang bernasib baik.
Majlis penyerahan akan diadakan pada hari tersebut manakala pada 8 dan 14 Disember akan diadakan persembahan koir dan pancaragam oleh para ahli yang mendendangkan lagu-lagu Krismas.
Turut hadir memberkati majlis adalah Rev Trinity Methodist Church Lau Hui Ming dan Wakil KTS Group William Ting.

No comments: