April 22, 2012

Kerajaan sentiasa kenang jasa bekas tentera: Wilson

KAPIT: Kerajaan sentiasa mengenang jasa bekas tentera dalam mempertahankan negara daripada terus dijajah serta membentuk Malaysia menjadi sebuah negara membangun seperti hari ini.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Wilson Nyabung Ijang berkata, di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, banyak polisi serta dasar telah digubah bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat, termasuk bekas perajurit yang telah banyak berjasa kepada negara.
“Kerajaan amat berterima kasih kepada golongan perajurit ini yang banyak berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan negara,” ujarnya ketika berucap pada  Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Kapit, di Dewan Suarah di sini, pagi semalam.
Beliau yang mewakili Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi pada majlis tersebut berkata, Alexander akan memperuntukkan RM5,000 kepada persatuan tersebut untuk menjalankan aktiviti serta bagi tujuan kebajikan ahli-ahlinya.
“Malah, saya dimaklumkan tahun lepas Menteri Kemajuan Tanah, Tan Sri James Masing turut memperuntukkan sebanyak RM10,000 kepada persatuan ini. Ini jelas membuktikan pemimpin dalam kerajaan sekarang amat menghargai jasa anda semua,” katanya.
Hadir sama Yang Dipertua PBTM Negeri Spencer Birai, Pengerusi PBTM Cawangan Kapit Wilfred Billy Panyau, Pemanca Tan Kian Hoo dan Penghulu Stewart Sawing.
Pemanca Tan Kian Hoo turut bermurah hati menderma RM1,000 kepada PBTM. Seramai enam orang ahli turut menerima bantuan kebajikan daripada PBTM pada majlis itu.
Mereka ialah Ambau Gerasi, John Rima, Lumpoh Berandah, Mancha Bajit, Siang Gada dan Sengalang Uyang. Manakala 20 yang lain menerima kad keahlian sebagai ahli PBTM.

No comments: