August 5, 2012

Kumpulan Sokongan Wanita untuk promosi penyusuan ibu ditubuhkan

SIBU: Pendekatan secara holistik menerusi penubuhan Kumpulan Sokongan Wanita di Sibu yang pertama diwujudkan di negeri ini dapat menyediakan perkhidmatan sukarelawan dan sistem sokongan yang terbaik dalam mempromosikan faedah penyusuan susu ibu.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, usaha Kumpulan Sokongan Wanita dapat membantu ke arah pembinaan satu komuniti yang berlandaskan keprihatinan terhadap sistem sokongan kepada ibu-ibu yang menyusukan anak-anak mereka.
“Keahlian Kumpulan Sokongan Wanita ini terdiri daripada 19 sukarelawan wanita dari pelbagai etnik dan latar belakang sosial. Tugas utama mereka adalah memberi sokongan melalui panggilan telefon kepada ibu-ibu menyusu yang mempunyai isu mengenai penyusuan susu ibu,” jelasnya.
Fatimah berkata demikian ketika menyempurnakan Seminar dan Majlis Pelancaran Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2012 Peringkat Bahagian Sibu anjuran Hospital Sibu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu di Kolej Kejururawatan Sibu, semalam.
Menyentuh mengenai faedah penyusuan susu ibu, Fatimah memberitahu, susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi dan memberikan segala keperluan nutrisi, bersih dan bebas daripada kuman serta tersedia pada suhu yang sesuai dan mudah dihadam.
“Bayi yang disusukan dengan susu ibu tidak memerlukan makanan tambahan sehingga enam bulan pertama hayatnya. Selain itu, bayi yang disusukan juga mempunyai sistem ketahanan yang lebih baik dan melindungi mereka daripada jangkitan yang serius seperti pneumonia dan cirit-birit,” ujar beliau.
Tambah beliau, pakar pediatrik juga percaya bahawa kanak-kanak yang diberi susu ibu adalah lebih matang dari segi perkembangan dan kesihatan mental, yang mana ia mampu meningkatkan daya upaya seseorang kanak-kanak dalam pembelajarannya.
“Sehubungan itu, pakar-pakar di seluruh dunia telah mencadangkan semua kanak-kanak diberi susu secara eksklusif selama enam bulan selepas dilahirkan, dan meneruskan sekurang-kurangnya sehingga dua tahun,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat.
Bagi wanita bekerja, Fatimah berkata, adalah menjadi satu cabaran besar bagi mereka untuk meneruskan penyusuan secara eksklusif untuk tempoh enam bulan, kecuali di tempat kerja mereka ada kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.
“Kita akan memulakan usaha menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak di bawah Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga iaitu di Wisma Biro Wanita dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, di samping penubuhan enam taska komuniti di seluruh negeri ini menjelang hujung tahun ini,” katanya lagi.
Fatimah turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengarah Hospital Sibu Dr Audrey Gapoh dan warga kakitangan atas pencapaian telah diakreditasi semula sebagai Hospital Rakan Bayi sebanyak empat kali berturut-turut.
“Untuk memberikan setiap bayi permulaan hidup yang terbaik dengan menyediakan fasiliti penjagaan kesihatan, Inisiatif Hospital Rakan Bayi, sesuatu inisiatif global yang telah diasaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan United Nation Children’s Fund (UNICEF), diperkenalkan 20 tahun yang lalu.
“Di Malaysia, Inisiatif Hospital Rakan Bayi diperkenalkan pada tahun 1992 bertujuan untuk menggalakkan semua hospital dan pusat bersedia melaksanakan 10 langkah ke arah penyusuan susu ibu yang berjaya.
“Kesemua hospital kerajaan dan beberapa hospital swasta telah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi. Semua hospital ini diwajibkan untuk menjalani penilaian semula setiap tiga tahun sekali bagi memastikan hospital dan staf-staf kesihatan menyediakan sokongan sepenuhnya bagi ibu dan bayi untuk memulakan penyusuan susu ibu,” jelasnya.
Hadir sama ialah Pakar Pediatrik Hospital Sibu Dr Toh Teck Hock, pengerusi pengelola seminar Dayang Normaliza Awang Tambi dan Penghulu Dayang Fatiyah

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/08/05/kumpulan-sokongan-wanita-untuk-promosi-penyusuan-ibu-ditubuhkan/#ixzz22e5Qe8Ng

No comments: