LIMBANG: Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) melalui konsep
hab halal akan menumpukan kepada pengeluaran makanan dan pemodenan
pertanian secara meluas sebagai persediaan menangani krisis bekalan
makanan yang dihadapi di seluruh dunia.
Ketua Menteri Pehin Sri
Abdul Taib Mahmud berkata, SCORE akan mengaplikasikan pengetahuan dan
bioteknologi moden untuk pengeluaran makanan halal yang kini diamalkan
di
Malaysia. Beliau berkata, kerajaan negeri melalui SCORE turut menyusun
dasar baharu untuk memberi kesedaran kepada rakyat agar melibatkan diri
secara agresif dalam industri pemodenan pertanian bagi mengeluarkan
hasil makanan bermutu tinggi.
“Rakyat biasa yang terdiri daripada
petani, penternak dan nelayan perlu diberi kesedaran untuk menceburkan
diri dalam bidang pengeluaran makanan pertanian di bawah SCORE yang giat
mempertingkatkan pembangunan ekonomi negeri,” ujarnya pada Hari
Peladang Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri di Dataran Jubli Emas di
sini, semalam.
Turut hadir ialah isteri Taib, Puan Sri Ragad
Kurdi Taib; Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu,
isteri Jabu, Dato Sri Empiang Jabu; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)
Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang
Johari Tun Abang Openg, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar
Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri
Wong Soon Koh, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato
Sri Michael Manyin, menteri-menteri muda dan jemputan lain.
Taib
berkata, SCORE juga menjana peluang pelaburan dalam bidang pertanian
melibatkan aktiviti akuakultur, ternakan ayam daging besar-besaran,
perladangan kelapa sawit, pengeluaran makanan dan produk asas tani dan
hab pengeluaran makanan halal di Tanjung Manis.
Katanya peladang,
penternak dan nelayan perlu merebut peluang yang disediakan dengan
melibatkan diri secara agresif dalam bidang pertanian komersil khususnya
yang tinggal di kawasan SCORE. Menurut Taib lagi, selain Tanjung Manis,
kerajaan negeri akan membangunkan pusat pemprosesan makanan di Sarikei
dan kawasan berdekatan bagi memastikan pengeluaran makanan dapat
dipertingkatkan.
“Kita pasti dengan adanya SCORE ini, bekalan
makanan tidak akan tergendala khususnya di Malaysia sebagai persediaan
pada masa depan seperti yang dihadapi di negara- negara lain.
“Beberapa
negara di dunia terpaksa bekerjasama dan melaksanakan Program
Keselamatan Makanan bagi menangani krisis makanan yang berlaku akibat
perubahan zaman dan cuaca yang melanda sekarang,” jelas beliau.
Selain itu, katanya, kekurangan tenaga di dunia menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk menjalankan ekonomi dunia.
“Banyak
sumber makanan seperti kacang soya terpaksa dijadikan sumber untuk
pengeluaran bahan api yang menyebabkan harga sumber makanan meningkat
selain mengurangkan bekalan sumber makanan utama.
“Oleh sebab itu,
SCORE menumpukan kepada pengeluaran makanan bagi memastikan bekalan
makanan sentiasa mencukupi dan bertambah,” tambahnya.
Menyentuh
mengenai HPPN, Taib berkata, ia sejajar dengan usaha kerajaan negeri
untuk memodenkan petani, penternak dan nelayan yang bergerak seiring
dasar ekonomi negara.
“Jika 30 tahun lalu, golongan rakyat biasa
(petani, penternak dan nelayan) masih teraba-raba untuk mencari jalan
bagi meningkatkan kehidupan yang agak susah. “Mereka tidak ada kuasa
untuk menentukan dan menggunakan pasaran yang ada dan menggunakan
teknologi dalam bidang pertanian,” katanya.
Jelas Taib, HPPN
menyedarkan rakyat yang terlibat dalam industri pertanian agar kerja
dapat dipertingkatkan melalui idea baharu dan kualiti yang lebih baik.
“Transformasi
ini tidak dapat dilakukan secara berseorangan melainkan kerjasama
dengan agensi yang terlibat agar petani, penternak dan nelayan mempunyai
keazaman yang kukuh untuk berjaya,” katanya.
Beliau memberitahu
lagi, rakyat perlu menyedari kekuatan apabila mereka bersatu bagi
mencapai kejayaan yang masih belum lagi tercapai.
“Jadikan kejayaan sebelum ini sebagai pendorong mereka lebih berusaha untuk berjaya,” katanya.
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment