February 24, 2009

Sokong Najib sepenuhnya - PM

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan masyarakat perniagaan negara ini perlu menyokong sepenuhya pengganti beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, Najib memerlukan sokongan semua pihak, baik daripada ahli perniagaan, sektor swasta, awam dan rakyat untuk menangani masalah ekonomi global yang kini menjejaskan negara.

"Najib memerlukan sokongan semua pihak dan saya percaya sokongan daripada ahli perniagaan, swasta, awam dan rakyat akan dapat memastikan negara dapat mengharungi masalah yang dihadapi sekarang dan pulih seperti sedia kala,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama pengacara CNN, Lorraine Hahn pada Program Semalam Bersama Perdana Menteri bertemakan 'Perjalanan Perdana Menteri' anjuran Kelab Perniagaan Kuala Lumpur (KLBC) di sini malam ini.

Turut hadir Penaung Diraja KLBC, Raja Dr. Nazrin Shah.

Abdullah berkata, kerajaan akan melakukan apa yang patut dalam suasana ekonomi yang tidak menentu kerana menjadi tanggungjawab untuk memastikan negara berjaya mengharungi masalah ekonomi ini.

Tegas beliau, ketika ekonomi baik, sektor swasta merupakan penyumbang pembangunan negara tetapi apabila masalah melanda, menjadi tanggungjawab kerajaan mengetuai pembangunan ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri juga berjanji beliau tidak akan melakukan sesuatu yang akan memalukan negara apabila telah bersara nanti.

Tegasnya, apa yang akan dilakukan nanti akan dibincangkan dengan Najib bagi memastikan ia selari dengan dasar kerajaan semasa.

''Perkara pertama yang saya akan lakukan selepas bersara ialah berkebun, memancing, bermain golf dan pastinya tidak membuka blog sendiri,'' katanya.

Nasihatnya kepada rakyat Malaysia pula agar bekerja keras dan bersedia melakukan perubahan bagi mengatasi masalah yang melanda negara terutama berkaitan ekonomi.

Beliau juga menegaskan, kebebasan yang dikecapi oleh rakyat pada hari ini datang dengan tanggungjawab dan kalau hendak ia berterusan pastikan lebih bertanggungjawab.

"Apabila kita lebih bertanggungjawab, negara akan lebih baik dan aman untuk semua hidup bersatu padu,'' ujarnya.

Perdana Menteri juga mengharapkan semua pihak akan menunjukkan keupayaan bagi mengatasi masalah yang dihadapi sekarang.

Katanya, semua pihak harus jujur dalam melaksanakan apa sahaja demi kepentingan negara.

Abdullah memberitahu, selama menjadi Perdana Menteri, beliau berpuas hati kerana dapat memenuhi janji manifesto pilihan raya 2004 iaitu untuk mewujudkan kebebasan dalam Badan Kehakiman dan meningkatkan usaha memerangi rasuah dengan mewujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Ditanya apa yang akan paling dirindui selepas bersara sebagai Perdana Menteri, Abdullah memberitahu, dapat melakukan apa yang hendak dilakukan.


Sumber : Utusan online

No comments: