KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pakatan pembangkang tidak sepatutnya mengenakan sebarang syarat untuk membantu kerajaan Barisan Nasional di Perak melaksanakan pembangunan di negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu tidak perlu kerana ianya akan menyulitkan pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.
Malahan, katanya, amalan mengenakan syarat itu juga adalah tidak baik.
"Usahlah kenakan apa-apa syarat. Bekerjasamalah sebagai petanda keikhlasan membantu memajukan negeri Perak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bersama dengan petugas kumpulan Felda di Dewan Felda di sini pada Khamis.
Muhyiddin berkata Perak tidak mungkin boleh maju tanpa penglibatan kedua-dua pihak sama ada pembangkang atau kerajaan yang memainkan peranan masing-masing di negeri itu.
Beliau menyeru agar semua pihak di Perak membantu Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pentadbirannya meneruskan rancangan pembangunan yang telah disediakan.
"Saya fikir, pastinya, kalau pakatan pembangkang melihat itu (rancangan pembangunan) adalah baik, harus mereka sokong. Jangan buat sesuatu yang boleh merugikan rakyat.
"Dengan ini menunjukkan satu perubahan yang baik. Jadi, kita tidak ada banyak sangat hendak politiking'dan tumpukan pada usaha untuk nak membela rakyat di Perak," katanya.
Selasa lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak dengan mengisytiharkan bahawa pelantikan beliau yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah mengikut Perlembagaan.
Bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pakatan pembangkang sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri BN demi kepentingan rakyat sekiranya beberapa syarat dipenuhi.
Antara syarat yang dikenakan ialah pembangkang dibenarkan menggunakan dewan orang ramai untuk menjalankan aktiviti mereka, tidak disekat menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input dan meminta supaya wakil rakyat pembangkang diberi peruntukan untuk kerja berkaitan kebajikan rakyat.
Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin meminta semua petugas kumpulan Felda mengambil pendekatan secara kreatif dan inovatif dalam usaha menjadikan negara lebih kompetitif dan mampu bersaing dengan negara-negara lain khususnya dalam sektor perladangan dan industri makanan.
Katanya ini adalah selaras dengan misi Felda untuk menjadikan pengurusan Felda mencapai tahap dunia dan menjadi pelaku global di samping menjadi pengeluar hasil sawit dan getah terbaik dunia.
"Kita menghadapi persaingan yang lebih sengit, kita berhadapan dengan cabaran-cabaran yang lebih besar dan melihat perubahan-perubahan yang berlaku agak drastik yang memerlukan kita bukan saja peka dan prihatin tetapi juga harus mampu bertindak secepat mungkin supaya kita tidak terbawa atau dibawa oleh arus yang mungkin tidak dapat meletakkan kita pada arah tuju yang dikehendaki," kata Muhyiddin.
-- BERNAMA
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment