IPOH, 5 Feb (Bernama) --- Selepas mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan, Sabtu genaplah setahun Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengetuai pimpinan negeri Perak sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun bagi beliau tempoh setahun itu bukan untuk diraikan atau dirayakan kerana apa yang penting bagi barisan exco yang dibentuknya adalah untuk terus memberi perkhidmatan kepada rakyat dan menguruskan pentadbiran negeri dengan sebaik-baiknya.
"Mungkin dalam setahun ini ada perkara yang perlu diperbaiki dan ada kelemahan yang perlu diperelokkan. Ia memberi iltizam kepada kami untuk teruskan khidmat bakti kepada rakyat.
"Itulah komitmen kami sebagai sebuah kerajaan di sebalik pelbagai perkara yang timbul, dengan tentangan yang ada, ia tidak sedikitpun menjejaskan komitmen kami untuk terus berbakti kepada negeri Perak serta memastikan pentadbiran dan pengurusan yang baik," katanya ketika dalam temubual 'Setahun Melayari Arus' dan makan malam bersama-sama pelbagai pertubuhan media di kediaman rasminya di sini baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai impak terbesar yang berjaya dicapai dalam tempoh setahun memimpin kerajaan negeri, Zambry berkata beliau tidak mahu melihat impak itu hanya dari satu perspektif sahaja kerana perhatian diberikan kepada seluruh aspek kehidupan rakyat dan banyak lagi yang perlu diperbaiki.
Zambry berkata impak yang berjaya dirasai oleh rakyat kini adalah usaha mengemaskini pentadbiran negeri supaya ia menjadi benar-benar berkesan termasuk mempercepatkan urusan berkaitan tanah seperti proses penukaran nama yang mengambil masa hanya dua jam berbanding 31 hari sebelum ini.
"Dalam soal ekonomi pula, kita dapat merasai arus pelaburan yang pantas dan deras mengalir datang ke Perak meskipun ia dipertikaikan tetapi fakta pelaburan tidak boleh dipertikaikan. Kita tidak boleh berbohong dalam soal pelaburan ini. Kerajaan negeri telah menerima pelbagai petunjuk daripada pelabur dalam dan luar negara," katanya.
Beliau berkata ketika menyertai lawatan Perdana Menteri ke India baru-baru ini, empat perjanjian telah ditandatangani yang melibatkan pelaburan di Perak serta lawatan misi perdagangan dan pelaburan kerajaan negeri ke Amerika Syarikat turut berjaya.
Zambry menyifatkan pengurusan dalam menangani 'hentakan' daripada golongan yang berkepentingan politik semata-mata adalah impak yang terbesar dan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) dapat menangani krisis itu dengan sebaik mungkin untuk memastikan keamanan serta kemakmuran dapat dipelihara.
"Bagi saya, harga yang paling besar dalam tempoh setahun ini adalah kemampuan untuk kita bersama-sama memastikan keamanan dan kemakmuran dapat terus berkekalan," katanya.
Zambry, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, berkata bahawa sebaik sahaja diperkenankan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah sebagai Menteri Besar, beliau terus membawa pendekatan 3P -- padang, perasaan dan pengisian -- dalam konteks hubungan pemimpin dengan rakyat.
Menerusi pendekatan 3P atau 3F (field, feel dan fill) itu, rakyat kini lebih rasa dihargai, perasaan mereka 'disantuni' dan setiap masalah yang dihadapi mereka juga semakin dipedulikan, katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak ada masa untuk menggunakan pendekatan yang perlahan ditambah pula barisan exconya terdiri pemimpin yang berpengalaman luas dalam pentadbiran.
"Tidak banyak masalah yang dihadapi. Dalam konteks mentadbir dalam suasana yang berlainan daripada era pentadbiran sebelum ini, ia memerlukan satu pendekatan yang lain yang perlu dipacu bersama-sama rakan yang lain," katanya.
Mengenai penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan diberi kepada barisan exconya, Zambry berkata penilaian itu seharusnya dibuat secara objektif dan ia turut bergantung kepada rakyat yang menilai kerja mereka.
"Mungkin saya tidak boleh beri (markah penilaian) 100 peratus kerana semua yang ada ini sedang memperbaiki. Tempoh setahun ini belum cukup mampu untuk membuat analisis yang terbaik kepada exco dan pentadbiran yang ada," katanya.
Ketika ditanya mengenai kekuatan beliau menerajui pentadbiran negeri dalam keadaan penuh pelbagai 'drama politik' yang dimainkan oleh pembangkang serta kononnya terjadi krisis perlembagaan setelah BN dapat menerajui semula kerajaan dengan kejatuhan pakatan DAP, PKR dan PAS, Zambry berkata: "Barangkali senyuman saya".
"Saya percaya apabila diberi amanah, saya mesti melaksanakan sebaik-baiknya kerana saya hanya ingin berkhidmat dengan sebaiknya walaupun saya tahu terpaksa berhadapan dengan cabaran yang menggunung.
"Tetapi saya yakin jika kita mempunyai niat yang baik, kita akan laksanakan tugas itu dengan baik. Itu sahaja ramuan saya, barangkali juga saya sudah ditakdirkan berada dalam kehidupan seperti ini," katanya.
Mengenai fokus beliau untuk masa depan negeri dan politik, Zambry berkata beliau akan memberi perkhidmatan yang terbaik dengan agenda yang telah disusun dan terus bekerja keras dengan memantapkan matlamat serta visi pembangunan negeri seperti mewujudkan institut pemikir, Institut Darul Ridzuan.
Katanya kerajaan negeri telah mengemukakan pelan induk pembangunan negeri yang besar iaitu Perak Amanjaya yang mengandungi tujuh pendekatan utama, dan ia bukti bahawa kerajaan yang dipimpinnya tidak bermain politik.
"Saya tidak bermain dengan retorik politik semata-mata bagi memenangi hati pengundi. Sebenarnya sebagai ahli politik kita juga berperanan dengan melihat apa yang kita mampu lakukan untuk membangunkan negeri," katanya.
Pada 6 Feb 2009, Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11, mengambil alih daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat yang memegang jawatan Menteri Besar ke-10 hanya kira-kira 11 bulan.
Sultan Azlan Shah telah menitahkan Mohammad Nizar meletak jawatan kerana pakatan DAP, PAS dan PKR tidak lagi mempunyai majoriti dalam dewan setelah dua wakil rakyat PKR dan seorang daripada DAP meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN.
-- BERNAMA
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment