February 11, 2010

SPRM bantu ahli perniagaan jauhi rasuah

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan lebih banyak interaksi dengan masyarakat yang terlibat dalam dunia perniagaan, dalam usaha memerangi gejala rasuah di kalangan usahawan dan ahli perniagaan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, langkah itu penting bagi menyedarkan komuniti usahawan supaya mereka dapat memahami struktur perniagaan yang bersih bagi mengelak daripada terjebak dengan amalan rasuah.

Katanya, SPRM bertanggungjawab untuk memberi sokongan serta mendidik komuniti perniagaan bagi menjalankan perniagaan secara telus, amanah dan bebas daripada budaya rasuah.

"Sebagai contoh, jika pihak terbabit tidak memahami syarat-syarat lesen perniagaan yang telah ditetapkan, kemungkinan akan wujud pula amalan memberi dan menerima rasuah.

"Maklum balas daripada komuniti perniagaan, khususnya kaum Cina amat penting. SPRM mahu semua pihak bersama-sama memerangi rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan dialog dengan gabungan pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Hua Zong, Tan Sri Datuk Pheng Yin Huah serta 13 wakil Dewan Perniagaan Cina di setiap negeri.

Antara perkara yang dibincangkan dalam dialog itu termasuk bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak, selain cadangan untuk menambah baik suruhanjaya terbabit.

Menurut Abu Kassim, SPRM sentiasa bebas dalam prosedur operasinya yang berbeza daripada agensi sebelum ini, Badan Pencegahan Rasuah (BPR).

"SPRM kini dalam proses menubuhkan unit khas untuk memfokuskan siasatan kes berprofil tinggi. Kes-kes tersebut biasanya berkaitan dengan sektor awam, yang mesti diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

"Pihak suruhanjaya masih menjalankan kes-kes yang tidak dapat diselesaikan BPR sebelum ini. Semua laporan berhubung rasuah yang dikemukakan kepada SPRM oleh mana-mana individu akan diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya," jelasnya.

Sementara itu, Hua Zong berharap agar wakilnya dilantik sebagai pemerhati dalam pelbagai jawatankuasa SPRM.

Yin Huah memberitahu, pihaknya turut memohon SPRM melantik lebih ramai kaum Cina dan India sebagai pegawai-pegawai pentadbiran, undang-undang dan tugas-tugas penterjemahan.

Selain itu, beliau turut bimbang ekoran semakin ramai komuniti Cina dalam perniagaan terlibat dengan amalan rasuah terutama apabila ia melibatkan projek kerajaan.

No comments: