February 11, 2010

Setuju daftar pengundi secara automatik

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Cadangan mendaftarkan rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun secara automatik sebagai pengundi mendapat sambutan baik daripada beberapa pertubuhan.

Pemantau Pilihanraya Adil dan Bebas (Mafrel) misalnya antara mereka yang bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan pemilih secara automatik jika memenuhi syarat.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, jika sistem itu terbukti berkesan, pelaksanaannya akan disambut baik oleh rakyat.

"Namun, kesahihan maklumat senarai pemilih yang didaftarkan itu mesti diutamakan agar tidak menimbulkan keraguan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang memetik kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengenai cadangan untuk mendaftarkan secara automatik rakyat yang berusia 21 tahun sebagai pemilih.

Syed Ibrahim menambah, data yang diperoleh SPR dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu disaring oleh SPR termasuk parti-parti politik, badan bebas dan institut kajian pilihan raya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Azril Mohd. Amin, turut bersetuju jika sistem automatik pendaftaran pemilih diaplikasikan di negara ini.

"Amerika Syarikat sudah lama menggunakan jalur lebar bagi urusan pendaftaran dan tidak ada masalah malah proses pengundian berjalan lancar," ujarnya.

No comments: