February 25, 2010

Beri maklum balas Klinik 1Malaysia

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dengan kejayaan mewujudkan Klinik 1Malaysia yang kini dilihat menjadi begitu popular di kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata, keberkesanan klinik-klinik tersebut akan terus dipantau bagi memastikan keperluan rakyat dapat diuruskan secukupnya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat yang pernah mendapatkan perkhidmatan di Klinik 1Malaysia berkongsi pendapat dan pengalaman berhubung bagaimana kerajaan dapat terus menambah baik lagi konsep Klinik 1Malaysia itu.

''Sekiranya anda sendiri pernah mendapatkan perkhidmatan ini, marilah berkongsi pendapat anda berhubung pengalaman anda dan bagaimana pada pendapat anda kami dapat menambah baik lagi konsep Klinik 1Malaysia ini dengan mengemukakan komen anda di sini," katanya dalam blog www.1malaysia.com.my

Beliau berkata, setakat ini lebih daripada 100,000 orang dengan purata 80 hingga 200 pesakit setiap hari telah mengunjungi klinik-klinik yang diwujudkan itu untuk mendapatkan rawatan mudah bagi penyakit-penyakit seperti sakit kepala dan selesema.

''Sejak 28 Disember 2009 dan pembukaan perkhidmatan pertama di Lembah Pantai, 50 Klinik 1Malaysia telah dimulakan di kawasan-kawasan perbandaran yang terpilih.

''Di pembukaan Klinik 1Malaysia di Kampung Kerinchi dan PPRT Lembah Taman Putra Damai pada awal Januari, saya telah melihat sendiri bagaimana perkhidmatan dapat diberikan untuk memenuhi keperluan penduduk setempat," katanya.

Najib berkata, beliau berharap klinik-klinik tersebut mudah didatangi dan mampu dibiayai oleh penduduk- penduduk yang memerlukan perkhidmatan itu.

Katanya, penduduk- penduduk yang tidak berupaya mendapat rawatan di klinik swasta sama ada kerana jauh dari tempat tinggal atau terlalu mahal, kini telah mempunyai alternatif yang praktikal di Klinik 1Malaysia.

Tambahnya, Klinik 1Malaysia merupakan klinik masyarakat yang ditempatkan dengan strategik dan dibuka setiap hari selama 12 jam dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam,'' katanya.

''Jururawat-jururawat dan pembantu-pembantu kesihatan yang berkelayakan dengan pengalaman bekerja yang tidak kurang dari lima tahun menyediakan rawatan yang berkualiti untuk hanya RM1 sementara penduduk bukan rakyat Malaysia dikenakan bayaran sebanyak RM15,'' katanya.

No comments: