February 20, 2010

Projek Belum Siap Diteruskan Dalam RMK-10 - Awang Adek

KOTA BAHARU, 20 Feb (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua projek yang dijanjikan di Kelantan tetapi tidak sempat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pihaknya tidak akan mengabaikan projek yang dijanjikan meskipun menerima projek baru dalam RMK-10.

"Sebagai contoh di Bachok di mana kerajaan telah menjanjikan pembinaan Hospital Bachok dan Kolej Kemahiran Mara. Ia sudah diluluskan dan tanah pun sudah diambil, jadi kerajaan tidak akan membiarkan projek ini terbengkalai dan akan menyiapkannya sebagai janji kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar MYJ Basic Project di sini pada Sabtu.

Tanpa menyebut jumlah projek yang belum dilaksanakan sepenuhnya dalam RMK-9, beliau berkata projek-projek terbabit kebanyakannya merupakan projek besar yang perlu dilaksanakan secara berperingkat dan memakan tempoh yang agak lama.

Mengenai pemberian wang ihsan dari hasil minyak kepada rakyat Kelantan, beliau berkata ia kini dalam peringkat perincian sebelum disalurkan kepada rakyat.

Sambil menyifatkan pemberian wang ihsan itu akan menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul sebelum ini, beliau turut menasihatkan semua pihak agar tidak lagi bercakap banyak sebaliknya menunggu wang itu diberikan.

"Saya berpendapat tidak perlu cakap banyak sangat pasal wang ihsan. Kita pun sudah beri penerangan kepada rakyat, yang penting duit itu akan disalurkan secara telus kepada rakyat bagi memastikan golongan yang tidak berkemampuan di negeri ini menerima wang itu selayaknya," katanya.

No comments: