February 25, 2010

Malaysia pulih lebih cepat

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Krisis ekonomi global yang melanda Malaysia semakin hampir ke penghujungnya berdasarkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat di luar jangkaan.

Pakar dan para penganalisis ekonomi berkata, perkembangan positif itu dijangka mampu membantu peningkatan pertumbuhan ekonomi pada 2010.

Sebelum ini kerajaan menganjurkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak tiga hingga empat peratus. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula membuat sasaran peribadi sebanyak lima peratus.

Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, berdasarkan keputusan terbaru itu, kerajaan dijangka meningkatkan unjurkan KDNK negara.

''Dengan keputusan positif ini, ekonomi negara akan pulih dengan lebih cepat berbanding jangkaan awal.

''Petunjuk ini sekali gus menunjukkan sentimen keyakinan pengguna semakin pulih, selain pasaran kerja yang semakin stabil dapat membantu pengukuhan ekonomi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kim Leng turut menyambut baik terhadap bayangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Tegas beliau, kadar faedah yang rendah adalah sangat berisiko dan akan hanya menyebabkan gelembung aset.

''Perubahan perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat supaya tidak memberi kesan kepada kadar pinjaman yang akan dibuat oleh pengguna,'' jelasnya.

Malaysia mencatatkan KDNK sebanyak 4.5 peratus pada suku keempat 2009, kenaikan 1.1 peratus daripada sasaran awal kerajaan 3.4 peratus.

Secara keseluruhannya, KDNK hanya mencatatkan penguncupan 1.7 peratus pada tahun lalu, iaitu lebih rendah daripada sasaran awal -3.0 peratus sebelum ini.

Ekonomi Malaysia menguncup pada suku pertama kepada -6.2 peratus, suku kedua -3.9 peratus dan suku ketiga -1.2 peratus.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin pula menyifatkan prestasi ekonomi negara itu memang sudah dijangkakan.

Malah, jelas beliau, prestasi itu seiring dengan kedudukan ekonomi di negara-negara serantau seperti Singapura, Korea dan China, meskipun berlaku kebimbangan dengan ketidakstabilan pasaran di Eropah.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menganggu keseluruhan pemulihan ekonomi global.

Beliau berkata, pengukuhan ekonomi tersebut banyak disumbangkan oleh pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang berjalan lancar dan pantas.

Ditanya sama ada kerajaan perlu meneruskan pakej rangsangan ekonomi, beliau berkata: ''Ia tidak perlu kerana negara tidak boleh bergantung secara berterusan kepada program tersebut''.

Dr. Mahani menyifatkan langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan Bajet 2010 adalah baik kerana membolehkan kerajaan berbelanja dengan cekap dalam setiap ringgit yang dibelanjakan.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin berpendapat, sasaran yang dibuat Perdana Menteri sebanyak lima peratus hanya boleh dicapai pada separuh pertama tahun ini tetapi dalam keadaan berhati-hati.

''Keadaan ekonomi global masih lagi belum pulih sepenuhnya kerana situasi ekonomi di negara-negara membangun masih lagi membimbangkan terutama Amerika Syarikat (AS) yang mengalami masalah pengangguran tinggi.

''Sesetengah pakar ekonomi masih tidak menolak risiko kemungkinan AS akan mengalami kemelesetan ekonomi berganda. Risiko tersebut berada pada kadar 30 peratus hingga 60 peratus,'' jelasnya.

Azrul berkata, prestasi ekonomi pada tahun lalu itu secara keseluruhan dibantu oleh pakej rangsangan ekonomi tetapi apabila kesan itu semakin berkurangan, ia dikhuatiri akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

''Negara perlu berhati-hati dalam menghadapi kehilangan kesan pakej rangsangan dan perlu bersedia berhadapan dengannya,'' jelasnya.

No comments: