February 11, 2010

BN yakin mampu pertahan Perak

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak yakin dapat mempertahankan kedudukannya daripada undi tidak percaya yang mungkin dibawa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan, kerajaan BN yakin akan dapat mempertahankan diri walaupun majoriti hanya tiga undi.

“Undi tidak percaya termaktub dalam perlembagaan atau undang-undang negara yang mengamalkan demokrasi di dunia ini dan ia merupakan amalan biasa.

“Kerajaan BN yakin akan terus kekal memerintah kerana percaya kesetiaan wakil-wakil rakyat dan rakyat berdasarkan kepada apa yang dilakukan sekarang untuk memastikan Perak terus maju,” katanya.

Zambry bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Mesyuarat itu diadakan di ibu negara kerana beliau mengiringi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mempengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-220 di Istana Negara.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan Mohammad Nizar membawa undi tidak percaya kepada beliau sekiranya mempunyai majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa depan.

Semalam, pergolakan politik di Perak yang berlarutan sejak setahun lalu ekoran perebutan jawatan Menteri Besar berakhir setelah Mahkamah Persekutuan memuktamadkan ia milik Zambry.

Keputusan itu diputuskan sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang menolak rayuan Mohammad Nizar.

Katanya, pada masa ini beliau tidak ingin lagi memikirkan apa yang akan dilakukan oleh pembangkang tetapi bekerja kuat dan memberi yang terbaik kepada rakyat.

“Saya telah buat pendirian apabila diberi tanggungjawab sebagai Menteri Besar maka akan merancang yang terbaik untuk negeri dan rakyat dengan prinsip apabila diberi amanah perlu dilaksanakan sebaik-baiknya,” kata beliau.

Mengenai kesediaan Mohammad Nizar bekerjasama dengan beliau dengan syarat kerajaan BN Perak menyediakan peruntukan antara RM150,000 hingga RM200,000 kepada setiap ahli DUN dari pembangkang, Zambry berkata:

“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan pembangkang tetapi mengapa mereka hendak meletakkan syarat tertentu bagi mengadakan kerjasama?”

Katanya, kalau hendak bekerjasama ia perlu dilakukan secara jujur tanpa perlu meletakkan pelbagai syarat.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa BN tidak pernah menganaktirikan kawasan yang dikuasai pembangkang.

“Setiap kawasan menerima peruntukan sewajarnya daripada kerajaan dan akan menerima bantuan sekiranya berlaku malapetaka ataupun bencana alam.

“Saya dan Exco kerajaan negeri sentiasa turun ke bawah memastikan rakyat mendapat bantuan sewajarnya jika berlaku bencana. Kerajaan tidak pernah menyisihkan kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang,” tegasnya.

Berkaitan dengan beberapa kes di mahkamah yang dibawa oleh pembangkang bagi mencabar kesahihan kerajaan BN Perak, beliau memberitahu ia tidak akan menjejaskan fokus kerajaan bagi membangunkan negeri.

Tegasnya, kes-kes itu akan dihadapi seperti mana kes bagi menentukan siapa Menteri Besar yang sah di Perak dan telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Kerajaan BN yakin kes-kes itu tidak akan menjejaskan kerajaan negeri sebaliknya ia akan mengukuhkan lagi kedudukan BN di Perak,” katanya.

No comments: