September 9, 2010

1.5 juta kenderaan pulang beraya

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Kira-kira 1.5 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya yang dikendalikan oleh PLUS Expressways Berhad (PLUS) hari ini dan esok untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat PLUS, Khalilah Mohd. Talha berkata, walaupun terdapat pertambahan kenderaan, aliran trafik di beberapa laluan utama PLUS didapati masih berjalan lancar.

Katanya, tinjauan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini menunjukkan tiada sebarang kesesakan ketara berlaku walaupun jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya dan jalan utama bertambah berbanding hari biasa.

“Sehingga lewat petang ini, keadaan trafik bermula dari Plaza Tol Jalan Duta berjalan lancar dan dijangkakan keadaan trafik sibuk dan sesak menjelang lewat malam ini.

“Aliran trafik ke selatan pula masih bergerak lancar namun kenderaan semakin bertambah terutama di laluan dari Nilai ke Seremban,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas aliran trafik di lebuh raya kendalian PLUS menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, jurucakap Trafik LLM memberitahu, aliran trafik ke utara masih bergerak lancar namun antara Jelapang ke Kuala Kangsar, trafik kelihatan mulai perlahan dari Kilometer 262 ke Kilometer 255.

Bagi perjalanan ke Pantai Timur pula, katanya, trafik di Lebuh Raya Karak kelihatan bergerak perlahan sekitar Plaza Tol Gombak dan di Persimpangan Bentong Barat.


Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments: