LIMBANG: Jabatan Imigresen Negeri Sarawak (JIS) menarik balik serta-merta pelaksanaan sistem cop pasport yang dikuatkuasakan pada 25 Julai lalu di setiap pintu masuk Imigresen di wilayah utara negeri ini.
Pegawai Perhubungan Awam JIS, Kadir Sapian memberitahu keputusan menarik balik sistem tersebut adalah bertujuan untuk memudahkan pergerakan laluan keluar dan masuk terutama menjelang perayaan Aidilfitri ini.
Beliau menjelaskan lagi pemeriksaan imigresen masih dilakukan seperti biasa dan orang ramai dan pelawat perlu mendapatkan pemeriksaan Imigresen untuk tujuan memasukkan data ke dalam skrin (sistem imbasan).
“Penarikan balik sistem cop pasport itu mengambil kira pergerakan keluar dan masukyang mula meningkat menjelang Hari Raya selain mempercepatkan lagi pemeriksaan imigresen.
“Dengan keputusan tersebut, sistem imbasan seperti yang diguna pakai sebelum ini juga akan diteruskan seperti biasa,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo di sini semalam.
Beliau berkata orang ramai mula faham dan memberi perhatian serius untuk mendapatkan pemeriksaan imigresen setiap kali keluar dan masuk sepanjang tempoh pemeriksaan kawalan ketat yang dilaksanakan sebelum ini.
“Kita memohon kerjasama orang ramai untuk meneruskan dan mendapatkan pemeriksaan setiap kali melalui pintu masuk Imigresen di sini.
“Para pegawai yang bertugas di pintu masuk akan mengambil tindakan tegas jika ada yang gagal mematuhi peraturan termasuk cubaan untuk menggunakan pasport milik orang lain untuk menyamar dan kesalahan lain semasa mendapatkan kemudahan pemeriksaan imigresen,” tegasnya.
Dalam pada itu Kadir menjelaskan pihak Imigresen juga akan menangguhkan masa pemeriksaan di setiap pintu masuk di wilayah utara di sini pada perayaan Hari Raya ini.
Katanya lagi ia bagi mengelak berlakunya kesesakan sebagaimana yang sering dihadapi setiap kali musim perayaan apabila orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Kita akan berusaha untuk melanjutkan tempoh pemeriksaan sehingga jam 12 tengah malam dan ia tertakluk kepada penerimaan dan persetujuan daripada Negara Brunei sepanjang tempoh perayaan Hari Raya ini,” jelasnya lagi.
Sumber : Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment