KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah amat penting kerana kajian yang dijalankan mendapati mereka yang rasuah cenderung menyembunyikan diri atau laba yang diperoleh secara salah itu dalam bidang kuasa asing, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata menafikan tempat yang selamat kepada pelaku rasuah dan laba yang diperoleh secara salah itu amat penting dalam mana-mana strategi untuk memerangi rasuah.
"Pada masa sekarang, apabila seseorang bercakap mengenai menjenayahkan perbuatan rasuah, ia bukan sekadar menjenayahkan kesalahan memberi dan menerima rasuah atau menyalahgunakan kedudukan.
"Ia termasuk menjenayahkan laba daripada jenayah rasuah dan usaha menangkap pelaku rasuah, dengan cepat," katanya pada perasmian Seminar Serantau "Menjenayahkan Rasuah" Inisiatif Pencegahan Rasuah Bagi Asia dan Pasifik, Bank Pembangunan Asia/Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi yang ke-10 di sini pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Najib berkata undang-undang atau inisiatif bersama antarabangsa mengenai bantuan perundangan, ekstradisi dan antipengubahan wang haram akan hanya berkesan jika negara-negara komited untuk saling membantu antara satu sama lain.
"Perlu ingat bahawa pelaku rasuah memanfaatkan kelompangan dalam kerjasama antarabangsa untuk melindungi diri mereka dan laba yang diperoleh secara salah," katanya.
Beliau berkata seminar seperti ini akan menjadi wadah penting untuk menangani perbezaaan daripada segi perundangan dan syarat bukti setiap negara dalam perkara membabitkan bantuan perundangan, ekstradisi dan antipengubahan wang haram bagi mengurangkan kerenah birokrasi.
Najib berkata kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pendekatan baru dalam mentransformasi prestasi kerajaan yang memberi tumpuan pada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) termasuk memerangi rasuah.
Di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), tiga bidang utama telah dikenal pasti dalam NKRA untuk memerangi rasuah di mana tindakan perlu diambil termasuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap agensi pengawalan dan penguatkuasaan.
Beliau berkata pangkalan data umum mengenai mereka yang disabitkan kesalahan rasuah dalam laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyenaraikan 192 pesalah yang disabitkan sejak awal tahun ini.
Najib berkata pangkalan data itu yang ditubuhkan dan beroperasi sejak 4 Mac, akan membolehkan rakan kongsi perniagaan, majikan dan orang ramai membuat rujukan mengenai siapa yang melakukan rasuah dan sogokan dan pada masa yang sama bertindak sebagai pencegahan, dengan menggunakan pendekatan "namakan dan malukan'.
Katanya bagi meningkatkan keyakinan dan persepsi terhadap agensi pengawalan dan penguatkuasaan, setiap agensi itu perlu menubuhkan unit pematuhan untuk memastikan pegawai dipantau dan mematuhi prosedur tatacara tugas masing-masing, dengan itu dapat mengurangkan salah guna kuasa.
"Selain itu, inisiatif lain seperti penggiliran kerja di tempat-tempat panas sedang dilaksanakan secara berperingkat, untuk mengurangkan ruang untuk menjalin perhubungan dan juga peluang untuk rasuah," katanya.
-- BERNAMA
Ali Biju silap langkah, GPS tetap jadi pilihan
-
Keputusan Ali Biju yang tetap dengan pendiriannya tidak mahu ‘melompat’ ke
Parti Demokratik Progresif (PDP) sebelum ini dan berpegang serta bergantung
k...
2 years ago
No comments:
Post a Comment