PUTRAJAYA, 22 Sept – Malaysia dan Brunei bersetuju bahawa wujud potensi baik bagi kerjasama masa depan antara kedua-dua negara khususnya menjangkaui Blok CA1 dan Blok CA2 di Kawasan Aturan Komersial (CAA) serta melibatkan negeri Sabah dan Sarawak.
Perjanjian ini dicapai pada Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-14 antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Seri Perdana di sini malam tadi.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, kerjasama masa depan itu turut melibatkan kemungkinan usahasama dengan negara ketiga dalam cari gali dan eksploitasi minyak dan gas serta pembangunan industri hiliran.
Terdahulu itu, kedua-dua pemimpin telah menyaksikan majlis menandatangani Surat Ikatan Pindaan bagi Perjanjian Perkongsian Produksi (PSA) blok laut dalam Brunei bagi CAA Blok CA1.
Perjanjian itu termeterai antara Petroleum Brunei dan Petronas.
Sebelum itu, Najib dan Sultan Hassanal mengadakan pertemuan empat mata selama 30 minit.
Kedua-dua pemimpin meyifatkan perjanjian itu merupakan langkah signifikan ke arah hadapan dalam pembangunan kerjasama antara pihak berkuasa petroleum kedua-dua negara.
“Mereka juga berharap PSA bagi CAA Blok CA2 akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” menurut kenyataan bersama itu.
Kedua-dua pemimpin itu juga turut meneliti kemajuan perbincangan mengenai pelaksanaan elemen lain yang dipersetujui dalam Surat Pertukaran antara kedua-dua negara itu.
Kedua-dua pemimpin itu juga meneliti kemajuan perbincangan Jawatankuasa Teknikal Bersama Persempadanan Darat Malaysia-Brunei dan meminta jawatankuasa itu memuktamadkan Terma Rujukan dan Memorandum Persefahaman mengenai Pembatasan dan Pengukuran Bersama Sempadan menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan aktiviti pembatasan dan pengukuran bermula pada suku pertama tahun depan.
“Kedua-dua pemimpin juga menekankan keperluan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan kemudahan masa depan dan menjana persekitaran yang lebih kondusif dan mantap dalam pelbagai sektor demi kepentingan bersama khusus bagi aktiviti di Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin itu juga melahirkan hasrat masing-masing untuk terus meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dan berharap mementum peningkatan kadar perdagangan dan pelaburan antara dua negara itu terus dipercepatkan.
“Baginda Sultan melahirkan kepuasan bahawa beberapa syarikat Malaysia telah menyertai dalam projek dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) dan mempelawa lebih banyak pelaburan Malaysia di Brunei,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Najib juga berpuas hati dengan pelaburan yang dilakukan oleh Brunei di Malaysia dan menjemput lebih banyak pelabur di koridor ekonomi negara seperti di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) dan Koridor Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).
Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju mengarahkan agensi berkaitan di negara masing-masing bagi meningkatkan perbincangan mengenai cara dan langkah meningkatkan perdagangan merentas sempadan dan aliran barangan dan perkhidmatan antara Brunei dan Malaysia termasuk transit dan bayaran lain.
“Kedua-dua mengimbas rundingan tahunan ke-10 di Kemaman, Terengganu pada Ogos 2006 mengenai pembinaan jambatan khususnya dalam kawasan-kawasan terpilih menghubungkan Brunei dan Sarawak dan meneliti bahawa inisiatif itu akan dikendalikan oleh sektor swasta.
“Mereka berharap pembinaan jambatan merentasi Sungai Pandaruan dapat bermula secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin itu berpuas hati dengan kelancaran perkhidmatan feri antara Serasa, Brunei dan Menumbok di Sabah dan ia telah memudahkan perjalanan bagi penduduk tempatan dan pelancong dari kedua-dua negara sejak perkhidmatan itu dilancarkan pada 30 Dis, 2009. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment