KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menggesa seluruh warga Polis Diraja Malaysia memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan mengamalkan 4P itu Protective (Pelindung), Performance (Pencapaian ), Proactive (Proaktif) dan People (Rakyat).
Katanya "protective" membawa maksud setiap warga PDRM perlu menanamkan dalam jiwa bahawa mereka adalah pelindung kepada rakyat.
"Kita melindungi masyarakat di bawah undang-undang yang ada agar rakyat merasa selesa dan selamat tanpa mengira miskin, kaya, orang biasa atau sesiapa sahaja.
"Kita tanamkan keyakinan kepada rakyat sampai satu tahap mereka lihat kereta peronda polis, mereka rasa selamat, nampak saya mereka rasa selamat, malah kalau boleh sampai nampak logo polis pun mereka dah rasa kewujudan kita dan merasa selamat," katanya pada sidang akhbar di sini.
Ismail, yang mengambil alih jawatan itu 18 hari lepas, berkata "performance" pula perlu dijadikan keutamaan untuk dicapai agar kepercayaan rakyat terhadap pasukan polis tidak terhakis.
"Tidak kira kes besar atau kecil, ia perlu diselesaikan dan akan dinilai dari prestasi tersebut.
"Dalam tempoh enam bulan ini, sudah pasti prestasi saya turut dinilai oleh anda semua, jadi saya tidak boleh mencapai KPI yang ditetapkan tanpa kerjasama dari pegawai dan anggota," katanya.
Ismail berkata beliau juga memerlukan pegawai dan anggota yang "proaktif" yang boleh berfikir ke hadapan dengan idea-idea yang inovatif agar selari dengan perubahan masa dan corak jenayah masa kini.
Usaha yang dilakukan itu katanya adalah untuk rakyat (people) agar mereka merasa aman dan selesa menjalani kehidupan seharian.
Beliau juga mengingatkan warga PDRM agar tidak berasa selesa dengan apa yang ada dan harus bertindak segera agar tidak ketinggalan dengan perubahan yang berlaku hari ini.
"Kita tidak mahu hanya perubahan dari segi fizikal semata-mata, sebaliknya dalaman juga perlu berubah agar kita dapat mengubah persepsi rakyat terhadap kita," katanya.
Ismail berkata walaupun kandungan 4P ini memang telah diamalkan sejak dulu dalam PDRM, namun beliau merasakan ianya perlu dibawa ke hadapan untuk dilaksanakan serta merta sebagai semangat baru untuk bekerja lebih kuat untuk rakyat.
-- BERNAMA
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment