January 20, 2011

Bantuan dihantar dari udara

BANTUAN SEGERA: Jabu (berdiri tengah) bersama Dr Stephen dan Anthonio ketika menyampaikan bantuan kepada penduduk di Rh. Ranggong.

BATU NIAH: Kerajaan Negeri Sarawak tidak mempunyai banyak pilihan, selain terpaksa menggunakan khidmat helikopter untuk menghantar bantuan kecemasan dengan segera kepada penduduk di dua buah rumah panjang yang terperangkap dalam banjir di Niah, semalam.

Bantuan kecemasan terutama susu untuk bayi dan kanak-kanak telah dihantar ke Rumah Belilie sepanjang 63 pintu dan Rumah Ranggong (69 pintu) di Ulu Niah menggunakan helikopter milik Hornbill Skyways.

Timbalan Ketua Menteri, Da-tuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, ditemani Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Stephen Rundi dan Residen Miri Anthonio Kathi Galis mengetuai operasi penghantaran bantuan tersebut melalui udara, dengan menaiki pesawat tersebut.

Manakala bantuan kedua yang lebih banyak jumlahnya termasuk makanan kering telah dihantar ke kedua-dua rumah panjang itu menggunakan pesawat helikopter Nuri milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan.

Sementara itu, khidmat helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diguna-kan bagi membantu menghantar bantuan makanan ke kawasan lain termasuk pusat-pusat pemindahan banjir yang sukar dilalui de-ngan jalan darat.

Manakala bantuan segera untuk mangsa banjir di Niah, Tinjar dan Tutoh Apoh telah diagih-kan semalam di pusat-pusat be-kalan banjir.

Selain itu pesawat Hornbill Skyways semalam turut menerbangkan beberapa kakitangan perubatan ke kawasan mangsa-mangsa banjir ditempatkan bagi membantu memberikan rawatan perubatan.

Dalam pada itu, Jabu melahirkan rasa simpatinya terhadap apa yang terpaksa ditempuhi oleh setiap penduduk di kedua-dua rumah panjang berkenaan yang dijangka terperangkap dan berhadapan dengan keadaan banjir sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, penduduk di kawasan tersebut khususnya bayi dan kanak-kanak amat memerlukan penjagaan dan perhatian yang secukupnya.

Katanya lagi, cara penghantaran bantuan adalah bergantung kepada keadaan dan situasi semasa iaitu sama ada menggunakan helikopter ataupun bot yang sesuai.

Kelmarin, Jabu telah memberi jaminan bekalan susu akan dihantar secepat yang mungkin kepada bayi dari usia tiga bulan dan kanak-kanak sehingga umur lima tahun yang terperangkap akibat banjir di Rumah Belilie dan Rumah Ranggong di Ulu Niah itu.

“Kita lihat banyak budak kecil di situ (rumah panjang) yang memerlukan penjagaan dan perhatian terutamanya dari segi bekalan makanan dan juga susu, kita akan pastikan bekalan dihantar mencukupi,” kata Jabu ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan dan lawatan ke tempat-tempat yang dilanda banjir di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, dianggarkan seramai 140 bayi dan kanak-kanak daripada kedua-dua rumah panjang terbabit memerlukan bantuan tersebut bagi menempuhi bencana berkenaan.

“Ramai yang kelihatan tertekan kerana tidak tidur dan kesejukan akibat bimbang tentang keadaan banjir yang melanda mereka,” ujar beliau.

Menurutnya, ada antara dapur dan bilik tidur mangsa banjir yang telah digenangi air manakala binatang ternakan seperti khinzir dan ayam diletakkan dalam guni serta ditempatkan di bahagian atas rumah panjang mereka iaitu ‘sadau’ (ruang di antara bumbung rumah dan siling bilik).

Semalam, banjir teruk melanda di beberapa kawasan seperti Niah, Sibuti, Bekenu, Tinjar Baram dan Marudi kerana paras air sungai semakin naik.

Sementara itu, Menteri Muda Kemudahan Awam, Sylvester Entrie Muran berkata walaupun banjir di Tinjar sudah mulai surut tetapi keadaan masih dalam keadaan berjaga-jaga.

Beliau mengadakan lawatan berkenaan ke bebearapa kawasan banjir bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok semalam.

“Saya risau tentang keadaan penduduk yang tinggal di sekitar Sungai Tinjar kerana walaupun banjir sudah mulai surut, ia tidak menjamin apa-apa kerana segalanya bergantung kepada cuaca,” katanya sambil menambah akan mengadakan lawatan seterusnya ke Bakong dan Marudi.

No comments: