Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tanpa tandatangan dan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah, pindaan itu tidak boleh menjadi undang-undang.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum ini berkata Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan sidang tergempar DUN bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif Selangor kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang sebelum ini terletak pada kerajaan negeri, ditarik balik berikutan pindaan Perlembagaan pada 1993 ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri yang turut menyebabkan undang-undang di Selangor dipinda bagi memusatkan kuasa Kerajaan Persekutuan.
Dr Mahathir juga menasihatkan sesetengah pihak agar jangan mempolitikkan isu pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK baru.
"Sepatutnya Raja tidak terbabit (dalam pelantikan SUK) tetapi isu ini dipolitikkan. Apa yang dilakukan oleh Raja (dalam memberi perkenan kepada pelantikan SUK) adalah berkenaan dengan pentadbiran.
"Itu adalah tanggungjawab baginda. Perkara ini dipolitikkan seolah-olah pegawai kerajaan mestilah memihak kepada parti dan sebagainya. Dia (pegawai kerajaan) hanya menjalankan tugas dan apa juga keputusan kerajaan, dia terpaksa melakukan dan tidak boleh bertindak secara bersendirian," katanya.
Pelantikan Mohamad Khusrin, 54, sebagai SUK baru berkuat kuasa 1 Januari lalu, mencetuskan kontroversi apabila Menteri Besar dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment