January 13, 2011

Selangor izin bina Loji Rawatan Air Langat 2 - Peter Chin

PUTRAJAYA, 13 Jan. - Kerajaan negeri Selangor pada Disember lalu telah berjanji akan memberikan kebenaran kepada kerajaan persekutuan untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Loji tersebut merupakan salah satu komponen dalam Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor.

Beliau bagaimanapun berkata, kementerian masih menunggu kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri yang dijangka akan diberikan dalam bulan ini.

"Saya sebagai Menteri mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) atas persetujuan beliau untuk memberikan kebenaran pembangunan bagi kawasan-kawasan yang kita inginkan, supaya Loji Rawatan Air Langat 2 boleh dibina mengikut jadual.

"Walaupun kita sudah tujuh bulan lewat daripada jadual, tetapi dengan adanya keputusan ini maknanya kita boleh teruskan. Kita akan meneruskan tender loji ini dalam bulan ini atau Februari.

"Dengan kebenaran ini maknanya halangan terakhir kita telah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

No comments: