January 28, 2011

Belia kurang minat polisi dan pelan kerajaan

Hanya satu perempat belia berminat dengan dasar pentadbiran dan pelan pembangunan kerajaan

SERTAI KAMI: Sng (kanan) dan Nordin pada sidang akhbar berhubung Perhimpunan Belia 2011 Peringkat Negeri di BCCK semalam.

KUCHING: Hanya satu perempat daripada kira-kira 1.1 juta belia di negeri ini berminat dengan perkembangan terkini dasar pentadbiran dan pelan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Mentari.

Justeru katanya, kerajaan akan memperhebatkan usaha mempromosikan polisi pentadbiran serta pelan pembangunan yang dirangka kerajaan negeri khususnya Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi memastikan golongan belia tidak tersisih daripada arus pembangunan.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan, belia negeri ini lebih berminat atau memberi penekanan kepada muzik dan sukan, hanya satu perempat daripada belia kita membaca berita-berita am. Majoriti mereka memilih sukan dan muzik.

“Oleh itu sudah menjadi tanggungjawab kita (kerajaan) untuk mempromosikan dasar-dasar kerajaan termasuk SCORE supaya belia dapat terlibat dengan aktif dan pada masa sama memberi maklum balas membina kepada kerajaan,” katanya pada sidang media berhubung Perhimpunan Belia 2011 Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.

Beliau menambah tumpuan perlu diberikan kepada belia kerana golongan itu mewakili 42 peratus daripada kira-kira 2.7 juta penduduk negeri Sarawak dan mereka merupakan kumpulan modal insan yang aktif kerana mereka yang dikategorikan belia adalah berusia 15 hingga 40 tahun.

Bercakap mengenai Perhimpunan Belia 2011 Peringkat Negeri, Sng berkata ia akan diadakan di BCCK pada 18 Mac depan dengan majlis pelancarannya akan disempurna Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Sng memberitahu perhimpunan kali ini yang bertema ‘Membina Masa Depan Hasil Kejayaan Sekarang’ dianggarkan dihadiri kira-kira 5,000 belia dari seluruh negeri.

“Banyak aktiviti sampingan akan diadakan bermula 18 hingga 20 Mac, antaranya Bicara Gitar, Karnival Mesra Belia, Sidang Kemuncak Pemimpin Masa Depan dan lawatan ke Pusat Hidupan Liar Semenggok, termasuk pameran mengkhusus kepada SCORE.

“Orang ramai boleh melayari laman web www.beliasarawak.com untuk mengetahui keterangan lebih lanjut mengenai program yang bakal diadakan sepanjang perhimpunan berlangsung,” jelasnya.

Beliau juga memberitahu bahawa bagi tahun ini individu dibenarkan mengemukakan penyertaan untuk merebut gelaran-gelaran ikon yang akan dipertandingkan dengan mendapatkan borang daripada lawan web www.beliasarawak.com.

Menurutnya, kali ini lapan anugerah akan disampaikan pada hari perasmian (18 Mac) iaitu Anugerah Ikon Belia, Anugerah Jasa Belia, Anugerah Belia (Sukan), Anugerah Belia (Kebudayaan/Kesenian), Anugerah Belia (Kemahiran), Anugerah Persatuan Belia Cemerlang, Anugerah Belia Wira (Tani Penyelamat/Nelayan/Penternak) dan Anugerah Belia OKU.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Hamdan Sarbini, Pengarah Urusan Glenreagh Sdn Bhd Nordin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif BCCK Trevor McCartney.

No comments: