January 13, 2011

Seramai 1,143 mangsa banjir dipindahkan, tiga lagi sekolah masih ditutup

KUCHING: Sebanyak 223 keluarga melibatkan seramai 1,143 mangsa di sekitar bandar raya ini telah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan banjir, sementara 77 keluarga yang melibatkan seramai 385 mangsa tidak dipindahkan.Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam yang memberitahu perkemban­gan banjir setakat semalam berkata, pemindahan mangsa turut melibatkan tujuh pusat pemindahan.

HAMPIR TENGGELAM: Enam buah kampung antara yang terjejas akibat banjir di sekitar daerah Matu dan Daro, semalam. — Gambar Bernama

Pada masa sama, beliau berkata daripada tujuh pusat pemindahan yang dibuka, lima daripadanya sudah ditu­tup manakala dua lagi masih dibuka.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Alam Negeri, memberitahu setakat Selasa, sebanyak sembilan sekolah telah ditutup, empat daripadanya mengalami banjir manakala lima disebabkan terputus hubun­gan.

Bagaimanapun, katanya se­takat semalam tiga sekolah masih ditutup iaitu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Bau, Sekolah Kebangsaan Buso dan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Buso, yang kes­emuanya merangkumi 2,153 orang pelajar.

“Banjir semalam (kelmarin) disebabkan paras air pasang yang tinggi, iaitu mencecah 300 milimeter dan diharapkan malam ini (semalam) ia tidak mencapai paras tertinggi.

“Ramalan hujan malam ini (semalam) masih sama se-perti kelmarin, dan diharapkan tidak lebat,” katanya yang merujuk kepada graf ramalan hujan dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya dekat sini semalam.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat melibatkan beberapa agensi seperti polis, Maritim dan Jabatan Meteorologi.

Dr Chan juga memberitahu kawasan yang dikenal pasti masih berisiko banjir ialah di Siniawan dan Bau.

“Siniawan dan Bau dira-malkan masih mengalami hujan lebat, kedua-dua kawasan ini masih dalam bahaya,” katanya.

Namun di Pekan Bau, Dr Chan berkata pelaksanaan projek pembetungan banjir yang dilihat beroperasi dengan baik diharapkan mampu mengelakkan berlakunya banjir di situ.

Selain itu, Dr Chan berkata antara kawasan lain di negeri ini yang turut terjejas akibat hujan lebat sejak beberapa hari lepas ialah di Matu Daro dan Mukah.

Bagaimanapun, katanya salah satu kampung yang dikenal pasti banjir, iaitu Kampung Berjaya Matu tidak dipindahkan penduduknya ekoran paras air yang tidak begitu tinggi, iaitu pada tiga kaki sahaja.

Tambahan, katanya rumah-rumah penduduk di situ terletak pada kawasan tanah tinggi.

Sementara, Statistik Ops Banjir yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyara-kat (JKM) semalam turut menyatakan jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan kepada mangsa banjir di sekitar Bau dan Kuching ialah sebanyak RM28,662.

Pelbagai jenis bantuan berupa makanan bungkus, makanan kering, selimut, tikar, keperluan dapur dan banyak lagi diberikan.

No comments: