SIBU: Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) yang dianjurkan setiap tahun sejak sembilan tahun lepas, akan dianjurkan dua tahun sekali mulai tahun depan.
Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) tidak akan menganjurkan BCF pada tahun ini, selepas ‘meluangkan’ banyak masa pada pilihan raya negeri pada bulan lepas.
“Oleh itu, MPS mendapati sukar untuk menganjurkan BCF tepat pada masanya. Dengan penganjuran tahun depan, kami mempunyai banyak masa bagi membuat persediaan dan persiapan.
“Kami berusaha membuatkan BCF ini lebih baik dengan menampilkan acara kebudayaan yang menarik bagi tatapan penduduk Sibu dan pelawat dari luar,” ujarnya pada satu sidang media di bilik mesyuarat MPS, petang semalam.
Hadir sama ialah pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King, Timbalannya Daniel Ngieng Kiong Ann serta yang lain.
Wong yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam memohon maaf kepada penduduk Sibu serta semua pihak yang terlibat dengan BCF kerana tidak dapat menganjurkan pesta tersebut pada tahun ini.
“Jika keadaan mengizinkan, kami ingin menganjurkannya setiap tahun. Namun mulai tahun depan, pesta ini akan dianjurkan dua tahun sekali,” jelasnya.
Menurut Wong lagi, sejumlah lebih kurang RM1 juta dibelanjakan bagi menganjurkan BCF pada setiap tahun.
“Penganjuran BCF ini atas inisiatif Pasukan Pembangunan Berwawasan Barisan Nasional Sibu sembilan tahun lepas apabila kami mempunyai lima Ahli Dewan Undangan Negeri dan dua Ahli Parlimen.
“BCF dibiayai oleh MPS, selain bantuan daripada Lembaga Pelancongan Sarawak, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan,” ujarnya sambil menambah dana yang ada masih tidak mencukupi.
No comments:
Post a Comment