Lima pemimpin tertinggi tidak pertahan jawatan, pengerusi di semua cawangan akan ditukar: Dr Chan
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan melakukan rombakan besar-besaran ke atas pucuk pimpinan tertinggi parti dalam usaha memperkukuhkan lagi parti itu.
Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata rombakan tersebut akan melibatkan jawatan tertinggi di peringkat induk dan juga cawangan.
Katanya, berikutan rancangan itu, parti akan mengadakan pameran bergerak ke semua cawangan di seluruh negeri untuk mencari dan memilih pemimpin baru yang muda bagi menerajui parti.
“Lima orang daripada kami di pucuk pimpinan tertinggi tidak akan bertanding mempertahankan jawatan pada Mesyuarat Agung Tri-Tahunan (TDC) yang dijudualkan pada hujung tahun ini.
“Saya sendiri tidak akan mempertahankan jawatan pada TDC akan datang termasuk Timbalan Setiausaha Agung I, Dato Sri Wong Soon Koh dan tiga orang lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), di Ibu Pejabat SUPP di sini semalam.
Dr Chan bagaimanapun enggan menyatakan nama-nama mereka namun membayangkan turut tidak akan bertanding ialah Setiausaha Agung, Senator Datuk Sim Kheng Hui dan Timbalan Presiden, Tan Sri Law Hieng Ding.
Rombakan itu kelak bakal melihat pertukaran jawatan pengerusi di setiap cawangan namun katanya, di kalangan mereka yang berjaya mempertahankan kerusi, mereka ada alasan munasabah untuk terus kekal.
Dalam usaha memperkasakan lagi parti, pihak SUPP juga katanya akan menambah penyertaan ahli-ahli wanita selain menarik lebih ramai golongan muda.
No comments:
Post a Comment