May 7, 2011

Pilih jurusan janji peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, kata Fatimah

OYA: Pilih jurusan yang menjanjikan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, nasihat Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah kepada lepasan sekolah di sini.

Menurut beliau, lepasan sekolah yang mahu melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta perlu bijak memilih jurusan selaras pencapaian akademik masing-masing.

“Tanpa mengira sama ada melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran atau am, sesuatu jurusan menjanjikan prospek pekerjaan dan pendapatan yang berbeza,” ujarnya.

“Sekarang, aliran vokasional menjanjikan pekerjaan berprofil tinggi yang menawarkan gaji lumayan. Antara pekerjaan itu ialah pengimpal dasar laut serta jurutera penerbangan.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata, lepasan sekolah juga perlu realistik semasa memilih jurusan untuk mengelak permohonan mereka ditolak.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan perasmian Program Selangkah Ke Menara Gading Dewan Undangan Negeri Dalat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, di sini petang semalam.

Fatimah kemudian menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) yang diwakili Pengurus Pemasarannya Mohamad Kadir.

MoU itu bertujuan untuk mewujudkan kerjasama strategik antara Majlis Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah Sarawak dengan KAYM.

Hadir sama, Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo, Pegawai Pelajaran Daerah Dalat Anthony Poon Teck Huat dan Pengetua SMK Oya Awang Omar Ali Awang Yahya.

No comments: