KUALA LUMPUR 27 Mei - Kenaikan tarif elektrik yang dijangka diumumkan Isnin ini, bukan kejutan yang membebankan.
Ketua ahli Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, kenaikan tarif elektrik yang diluluskan oleh Kabinet adalah sudah dijangkakan.
Beliau berkata, kerajaan sejak awal-awal lagi membayangkan bakal berlakunya kenaikan tarif elektrik terutamanya ketika harga bahan bakar dan minyak mentah mencecah lebih AS$110 setong.
"Pada pandangan peribadi saya, tarif itu mungkin menyaksikan kenaikan sekitar lima hingga 10 peratus, tetapi ia bukan muktamad kerana menteri berkaitan akan mengumumkannya Isnin ini,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia, di sini.
Kim Leng berkata, sebagai mengulas keputusan Majlis Ekonomi Negara (NEC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, meluluskan kenaikan tarif elektrik.
Butiran terperinci kenaikan tarif itu akan diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dijadualkan mengadakan sidang media pada pukul 4 petang Isnin ini.
Kim Leng berkata, kenaikan tarif elektrik itu diramal tidak akan memberikan kesan besar kepada masyarakat meskipun kadar inflasi dijangka meningkat sedikit.
Katanya, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan tersebut kerana kerajaan tidak boleh selama-lamanya menanggung subsidi.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Perancangan Strategik Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin menyatakan kebimbangannya, rakyat akan menerima kesan berganda jika sebarang kenaikan tarif elektrik berlaku.
Katanya, situasi itu disebabkan oleh beban yang ditanggung oleh industri akan disalurkan kepada para pengguna melalui harga produk yang dihasilkan.
"Maka pengguna terpaksa menanggung dua kenaikan dalam masa yang sama iaitu kenaikan bil elektrik di rumah dan juga harga barangan.
"Tekanan berganda ini secara langsung boleh mungkin boleh menyumbang kepada kenaikan inflasi," jelasnya.
Tambahnya, kerajaan pasti sudah membuat perancangan terbaik ketika ini dan kemungkinan kenaikan tidak begitu besar iaitu sekitar lima hingga 10 peratus sahaja.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, kenaikan itu baik dalam usaha kerajaan mengurangkan beban hutangnya.
Bagaimanapun, beliau meminta subsidi atau pelepasan bayaran harus diberikan kepada golongan berpendapatan rendah yang pastinya berdepan dengan kesan inflasi.
"Pelepasan itu harus dihadkan supaya mereka tidak menggunakan tenaga secara berlebihan," katanya.
Navaratnam juga meminta kerajaan mengadakan perbincangan bersama penjana tenaga bebas (IPP) bagi mengkaji semula kadar pemberian subsidi setelah mereka selama ini menikmati keuntungan berlipat kali ganda daripada faedah berkenaan.
No comments:
Post a Comment