May 7, 2011

Generasi muda, usahawan ICT harus libat diri dalam industri kreatif

Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Generasi muda, usahawan ICT harus libat diri dalam industri kreatif

Generasi muda, usahawan ICT harus libat diri dalam industri kreatif

Posted on May 7, 2011, Saturday

TEKNOLOGI 3D: Fadillah mencuba cermin mata teknologi 3D (tiga dimensi) semasa melawat salah sebuah ruang pameran yang menyertai Pameran PC 2011 PIKOM sambil disaksikan Ong (kiri) dan Andre (dua kiri). — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Generasi muda dan usahawan yang menceburi pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri ini harus mengambil peluang untuk memperkembangkan dan melibatkan diri dalam industri kreatif.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata industri kreatif merupakan salah satu sektor pertumbuhan baru negara yang mempunyai potensi besar di pasaran.

“Dalam konteks negara, ICT masih merupakan salah satu penjana pendapatan utama negara kita dan ia satu bidang yang harus kita beri tumpuan.

“Malahan ICT masih merupakan tumpuan pertumbuhan negara terutama dalam bidang industri kreatif di mana ICT memainkan peranan penting sama ada versi 3D (tiga dimensi), permainan atau rangkaian sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran PC 2011 Persatuan Industri Komputer Malaysia (PIKOM) di Permata Car Park yang dihadiri Pengarah Eksekutif PIKOM Ong Kian Yew dan Pengerusi Protem PIKOM Cawangan Sarawak Andre Suharto di sini, semalam.

Namun menurut beliau di Sarawak tidak ramai masyarakat atau syarikat-syarikat mendapat status industri berkenaan sedangkan ia merupakan salah satu sektor yang mempunyai potensi besar di pasaran.

Sehubungan itu katanya, mereka yang terlibat diharapkan akan terus mendampingi industri berkenaan terutamanya pihak universiti seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang bergiat aktif dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang ICT.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, UNIMAS seharusnya menggunakan universiti untuk melihat peluang pembangunan yang ada supaya golongan terlibat dapat membawa penyelidikan itu untuk dibawa ke pasaran.

“Saya merasakan ini peluang yang semestinya diambil oleh mereka dan kita di Sarawak sudah ada jawatankuasa Protem cawangan Sarawak…jadi sesiapa yang berminat untuk bergabung dengan ahli dalam PIKOM boleh berhubung dengan mereka,” tegasnya.

Ia kata beliau, memudahkan lagi usaha menyusun strategi bagaimana melihat pembangunan bukan sahaja penjualan komputer tetapi lebih kepada pembangunan perisian supaya Sarawak dapat menjadi peneraju dalam pembangunan ICT.

Fadillah dalam pada itu menasihati pengguna siber supaya lebih berjaga-jaga semasa melayari apa sahaja laman web atau berbentuk rangkaian sosial supaya tidak terperangkap dalam penipuan secara online.

Katanya aspek keselamatan merupakan satu perkara yang penting untuk dilihat dari segi keburukannya dalam dunia siber yang perlu diketahui.

“Di bawah MOSTI kita mempunyai CyberSecurity Malaysia (pusat pakar keselamatan siber negara) yang bertanggungjawab untuk keselamatan dan kawasan dari segi aspek ICT yang memantau laporan dibuat mengenai insiden keselamatan siber.

“Justeru orang ramai yang berhasrat melayari dunia siber disarankan untuk pergi ke laman sesawang CyberSecurity Malaysia bagi mengetahui langkah keselamatan dan kawalan agar tidak terperangkap dengan keganasan siber,” tegasnya.

Beliau turut mendedahkan trend kejadian berdasarkan laporan dibuat kepada pusat berkenaan menunjukkan peningkatan yang mungkin disebabkan beberapa perkara seperti dengan adanya kemudahan yang disediakan laporan secara online, pusat sehenti dan CYBER999.

Meskipun trend menunjukkan peningkatan katanya, namun bagi konteks Malaysia ia masih terkawal kerana pihak CyberSecurity sememangnya sentiasa memantau.

No comments: