May 22, 2011

Guna Internet untuk perluaskan perniagaan, kata Lee

INDAHNYA KRAF TEMPATAN: Lee (tengah) mencetak batik sebagai simbolik perasmian pelancaran Promosi Kraf Malaysia 2011 sambil diperhatikan oleh Dennis (kiri), Kijan (dua kiri) serta yang lain.

MIRI: Pengusaha digalak memanfaatkan penggunaan Internet sebagai salah satu cara untuk memperluaskan perniagaan mereka. Menteri Muda Komunikasi dan Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata, ia cara terkini bagi pengusaha mempelbagaikan pemasaran sesuatu perniagaan.

“Menerusi Internet, pengusaha boleh menjual barangan mereka secara ‘online’ dan ini dilihat sebagai cara efektif yang digunakan secara meluas di seluruh negara.

“Bahkan, pengusaha bukan sahaja boleh memasarkan barangan mereka yang secara langsung akan menarik minat pembeli dalam negara, tetapi turut menarik pembeli dari luar negara selain menjana pendapatan ekonomi,” katanya pada majlis perasmian pelancaran Promosi Kraf Malaysia 2011 yang berlangsung di Pusat Kraftangan Miri, petang semalam.

Justeru, menurut Lee, perusahaan secara ‘online’ juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan keunikan di negeri ini kepada pembeli.

Mengulas mengenai Promosi Kraf Malaysia 2011, Lee memberitahu acara tersebut sinonim dengan kekayaan masyarakat di Miri yang kaya dan terkenal dengan hasil kraf tangan tempatan yang begitu unik.

Jelas beliau, pengusaha kraf tangan perlu mempergiatkan promosi kraf tangan tempatan kepada masyarakat luar terutamanya pelancong asing, sekali gus membuktikan bahawa kualiti kraf tangan tempatan adalah setanding dengan negara luar.

“Pengusaha seharusnya mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan mutu dan kualiti perniagaan agar boleh memberi kepercayaan kepada masyarakat luar khususnya pelancong,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa program tersebut dapat membangunkan usahawan dengan memantapkan industri kecil dan sederhana yang dijalankan.

“Usaha pemantapan ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, saya percaya industri kraf boleh terus diperkukuhkan dan diyakini serta dapat menyumbangkan kepada pendapatan negara,” tambahnya.

Sementara itu, Promosi Kraf Malaysia 2011 selama enam hari bermula semalam sehingga Rabu depan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ia merupakan program anjuran Perbandanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri (MBM). Program berkenaan memperomosikan pelbagai kraf tangan tempatan yang bukan sahaja disertai oleh pengusaha kraf tempatan malah turut disertai pengusaha dari negeri lain seperti Melaka, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Sabah.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Datuk Bandar Miri Lawrence Lai Yew Son, Timbalan Datuk Bandar Mohd Chee Kadir, Pengerusi Majlis Pelancaran Promosi Kraftangan Malaysia 2011 Kaunselor Kijan Toynbee dan wakil Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak Salmi Mohd Isa.

No comments: