KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak akan melancarkan ‘operasi mabuk’ sempena perayaan Hari Gawai yang disambut Rabu ini.
Menurut Timbalan Ketua Balai Polis Daerah Kuching Abang Ahmad Abang Julai, operasi itu diadakan sepanjang kempen keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini.
“Kami tidak akan mendedahkan bila kami akan mengadakan operasi ini dan apa yang pasti kami adakan pada sebelah malam di beberapa tempat termasuk di pusat hiburan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Gawai di kawasan Enter Plus Resources Sdn Bhd, Batu 13, Jalan Kuching-Serian semalam.
Abang Ahmad berkata, pemandu yang berada dalam pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan akan dikenakan denda oleh mahkamah.
Jelasnya, semasa operasi itu dijalankan nanti, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kami mempunyai anggota yang terlatih yang akan memeriksa pemandu yang minum minuman keras terutamanya pada Hari Gawai ini.
“Jika kami mendapati mereka ini melebihi had yang telah ditetapkan mereka akan didakwa di mahkamah dan denda akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya.
Tambahnya, setiap kali operasi dijalankan seramai lima hingga enam orang didapati melebihi had alkohol ditetapkan.
“Jadi saya menasihatkan kepada pengguna jalan raya, jika mereka masih mabuk janganlah memandu kenderaan bagi mengelakkan diri terlibat dalam kemalangan,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap dengan kempen keselamatan yang dilancarkan itu, ia dapat mengurangkan kadar kes kemalangan di negeri ini.
No comments:
Post a Comment