July 14, 2011

30 pemain bola lisut Sarawak sertai Terbuka M’sia di Pahang

MIRI: Seramai 30 pemain dari Sarawak mengambil bahagian pada Kejohanan Bola Lisut Terbuka Malaysia Kali Ke-37 anjuran Persatuan Bola Lisut Malaysia yang berlangsung di Kuantan, Pahang mulai hari ini hingga 17 Julai ini.

Kontinjen yang terdiri daripada masing-masing 15 pemain lelaki dan wanita diketuai oleh pengurus pasukan, Ishak Chin yang juga Presiden Persatuan Bola Lisut Sarawak, ketua kurulatih pasukan lelaki Aaron Abel, ketua jurulatih pasukan wanita Vincent Chin dan dua orang pembantu jurulatih Muhd Syahmi Tan dan Jack Shim.

Kesemua pemain yang berasal dari Kuching, Sibu, Mukah, Miri dan Jabatan Marin yang sebelum ini menjalani latihan selama sebulan di sini bertolak ke Kuantan kelmarin.

Sebanyak 28 pasukan lelaki dan sembilan wanita seluruh negara mengambil bahagian dalam kejohanan itu selain kontinjen dari Brunei yang bertanding dalam kategori lelaki.

Pasukan Sarawak bagi kategori lelaki diletakkan di dalam Kumpulan F bersama empat lagi pasukan iaitu Pulau Pinang A, Terengganu B, Kuala Lumpur B dan MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia), manakala pasukan wanita Sarawak dengan kumpulan dari Terengganu, MSSM dan MASUM.

Pasukan lelaki buat pertama kali akan bermain menentang Pulau Pinang A pada hari ini, jam 11 pagi manakala pasukan wanita pada jam 3.30 petang hari yang sama.

Kejohanan itu akan diadakan di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Menurut Aaron, ini merupakan pertama kali Sarawak menghantar pasukan untuk bertanding pada kejohanan tersebut dalam tempoh beberapa tahun.

“Sebelum ini kita bertanding di peringkat kelab dan bukannya peringkat negeri seperti sekarang.

“Walaupun tidak menaruh harapan terlalu tinggi, namun saya yakin kita mampu melakukan yang terbaik dan memberi saingan hebat kepada pasukan lawan,” katanya