KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman menyeru seluruh lapisan rakyat di negeri ini untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan dan syukur sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan in, sama ada di rumah, premis perniagaan mahu pun pejabat.
Katanya, seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang dilancarkan dengan harapan agar rakyat dapat bersama-sama untuk sentiasa mengekalkan semangat kesetiaan dan patriotisme kepada negara tercinta.
“Ia juga merupakan platform untuk kita terus membuktikan kesyukuran, penghargaan dan terima kasih kepada engara yang telah banyak memberikan peluang untuk kita menikmati erti kemerdekaan yang sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Hj Yahya Hussin ketika melancarkan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sabah bagi tahun 2011, di perkarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.
Jelas beliau, tema sambutan tahun ini, iaitu ’1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera’ amat bertepatan sekali kerana ia membawa harapan dan makna yang besar kepada kita semua dalam usaha kerajaan memastikan program-program transformasi negara tercapai.
“Justeru, amat penting untuk kita menghayati sambutan kemerdekaan negara ini dengan penuh rasa kesyukuran atas nikmat keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan, tambahan pula kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara pada tahun ini dalam bulan Ramadan dan Syawal,” kata Musa.
Musa turut menyarankan kepada semua pihak termasuk swasta dan sektor awam, dewan perniagaan dan perindustrian, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemilik kenderaan supaya mengibarkan Jalur Gemilang sebagai bukti kesetiaan dan kecintaan kepada negara.
“Dengan adanya semangat dan komitmen tinggi untuk sama-sama menjayakan sambutan ini, saya yakin Jalur Gemilang akan sentiasa berkibar dengan megah sebagai bukti bahawa kita semua bersatu hati dalam mempertahankan dan mengisi nikmat kemerdekaan ini, seterusnya merealisasikan gagasan 1Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment