July 14, 2011

Lapor segera jika kenderaan awam didapati membahayakan

KUCHING: Orang ramai diingatkan agar membuat laporan kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) jika mereka mendapati terdapat sebarang kenderaan awam yang membahayakan.

Menurut Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, ini akan membolehkan syarikat pemilik kenderaan tersebut untuk diambil tindakan yang sewajarnya.

“Orang ramai boleh menggunakan telefon bimbit mereka untuk mengambil gambar dan menghantar kepada pihak berkenaan.

Mereka boleh menjadi ‘mata’ untuk JKJR.

“Lagipun, ia adalah hak mereka (orang ramai) untuk membuat laporan bagi memastikan keselamatan orang awam itu sendiri,” katanya.

Beliau menambah apabila laporan telah dibuat, JKJR akan mengambil tindakan dengan bertemu dengan syarikat yang dilaporkan dan akan mendapatkan penjelasan mereka.

“Berdasarkan laporan yang dibuat itu, pihak JKJR akan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan syarikat tersebut untuk mengelakkan sebarang kemalangan daripada berlaku,” jelasnya kepada pemberita.

Antara pemeriksaan yang akan dilakukan adalah pemeriksaan terhadap tayar, bunyi bising dari enjin, pintu keselamatan dan keberkesanan brek.

Manyin turut berkata bahawa pihak JKJR akan memastikan syarikat-syarikat pengangkutan awam untuk mematuhi kod amalan baru Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk pengangkutan awam

No comments: