July 2, 2011

Larry kembali sertai kabinet

KUCHING: Persoalan mengenai Larry Sng yang tidak menganggotai mana-mana parti di dalam kabinet negeri kini terjawab apabila beliau dikekalkan dalam Jabatan Ketua Menteri.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam mengesahkan bahawa Larry akan kembali ke Jabatan Ketua Menteri secepat mungkin ‘kerana menunjukkan prestasi baik’.

“Beliau (Larry) akan kembali ke Jabatan Ketua Menteri yang akan bertanggungjawab dalam hal ehwal belia,” katanya semalam yang sekali gus mengesahkan khabar angin penyertaan semula bekas menteri muda itu.

Taib berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa beliau dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib minum teh di Cafe Waterfront di Hotel Hilton.

Taib menegaskan, antara sebab kenapa beliau masih mahukan Larry kembali ialah prestasi Larry yang amat baik.

Tambahnya: “Beliau seorang yang baik dan bekerja dengan sangat baik sebelum ini.”

Ketua Menteri bagaimanapun tidak menyebut secara khusus jawatan yang akan diberikan atau bila Larry mula bertugas.

“Mungkin dalam masa dua minggu lagi. Beliau sedang bercuti sekarang. Lebih baik anda bertanya kepadanya,” katanya.

Larry bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan.

Larry bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusinya oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri 16 April lepas ekoran statusnya yang tidak menganggotai mana-mana parti selepas PRS menamatkan keahliannya pada 2007 kerana mengingkari pucuk pimpinan.

Sebelum pilihan raya beliau menjawat tiga portfolio iaitu sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (Hal Ehwal dan Latihan Belia) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian (Perancangan).

1 comment:

yusuflaili(Goku) said...

Bagus,org muda kuat bekerja disamping belajar sesuatu yang baru.