KUALA LUMPUR: “Judi Bermasalah” iaitu tabiat berjudi sehingga menyebabkan gangguan dalam kehidupan seperti psikologi, fizikal dan sosial telah sampai ke tahap yang perlu ditangani dan dirawat sebagai satu penyakit, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, kementerian itu sangat prihatin dengan gejala judi bermasalah dan rawatannya tidak boleh lagi dilihat sebagai gejala keluarga atau sosial.
Beliau berkata, walaupun tiada data mengenai trend berjudi di negara ini, namun keadaannya telah menjadi sangat serius.
“Hampir setiap hari kita boleh membaca mengenai masalah berjudi di media. Ia merupakan masalah yang sangat serius, lebih serius daripada penagihan dadah.
“Kementerian ini sedang melihatnya sebagai satu penyakit, agar kita boleh mengambil rawatan perubatan dan langkah untuk merawatnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum mengenai “Judi Bermasalah” di sini semalam.
Sehubungan itu, Liow berkata, kementeriannya akan menubuhkan satu majlis pada penghujung tahun ini untuk menangani isu tersebut dan telah meminta Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) membantu dalam menyediakan butiran cadangan terperinci dan strategi kukuh untuk menangani judi bermasalah.
Beliau menyeru MMHA dan institusi lain untuk melakukan survei mengenai perkara tersebut.
Kepada satu soalan, katanya mengharam perjudian dan menutup pusat judi tidak akan dapat mengatasi kegiatan berjudi kerana pertaruhan secara online memburukkan lagi keadaan. — Bernama
No comments:
Post a Comment