July 2, 2011

Firefly mulakan penerbangan dua kali sehari Kuala Lumpur-Sibu

SYARIKAT PENERBANGAN KOMUNITI: Beberapa orang remaja berpakaian tradisional pelbagai suku kaum Sarawak merakamkan kenangan di hadapan kaunter jualan tiket Firefly di Lapangan Terbang Sibu, semalam.

SIBU: Syarikat penerbangan komuniti, Firefly memulakan penerbangan Kuala Lumpur-Sibu, semalam.

Pengarah Urusan Firefly Datuk Eddy Leong berkata, Firefly yang juga anak syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan menawarkan perkhidmatan dua kali sehari ke destinasi itu.

Menurut beliau, pihaknya mempunyai perjanjian rakan perkongsian kod dengan MAS bahawa syarikat akan menggunakan pesawat B737-800 untuk laluan itu selain terus menyediakan sambungan dengan laluan lain dengan MAS.

“Kami juga akan mengambil kira keperluan penumpang perniagaan dan santai, serta menjadualkan masa penerbangan mengikut keperluan,” jelasnya.

Leong berkata demikian dalam sidang media sempena penerbangan pertama Kuala Lumpur-Sibu, di RH Hotel, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) Hu Yu Siong.

Katanya, Firefly turut menaik taraf sistem yang menawarkan fasiliti berhubung terus dengan MAS untu penumpang dan pemeriksaan bagasi hingga ke destinasi akhir, bermula 1 September depan.

“Penumpang yang kerap membuat penerbangan Kuala-Lumpur-Sibu akan gembira apabila mendapati mereka akan terus menikmati kemudahan yang sama oleh MAS.

“Firefly menawarkan kemudahan premium seperti jejambat udara bagi keselesaan dan keselamatan penumpang,” ujar Leong.

Sibu menjadi destinasi kedua selepas Kuching dengan penerbangan dua kali sehari Kuala-Lumpur-Sibu.

Penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.20 pagi dan 6.40 petang. Sementara, dari Sibu pada jam 9.45 pagi dan 9.05 malam.

Terdahulu, Leong dan Rashid menyambut ketibaan kumpulan penumpang pertama Firefly bagi laluan Kuala Lumpur-Sibu di Lapangan Terbang Sibu pagi semalam.

Selain itu, turut berlangsung majlis perasmian kaunter jualan tiket Firefly yang telah dibuka kepada orang ramai sejak 1 Jun lepas.

“Ini selaras dengan usaha memastikan tambang murah Firefly boleh dinikmati semua.

“Firefly telah mempelbagaikan saluran pengagihan jualan dengan membuka kaunter jualan di lapangan terbang dan bandar Sibu,” katanya.

Sementara itu, Rashid mengalu-alukan penerbangan Kuala Lumpur-Sibu oleh Firefly sambil menyifatkan ia sebagai satu lagi pilihan penerbangan.

Beliau turut menyeru ejen pelancongan tempatan agar lebih kreatif dalam memasarkan produk pelancongan di wilayah tengah.

“Wilayah tengah mempunyai pelbagai destinasi pelancongan menarik dengan keindahan alam sekitar, keunikan kebudayaan dan adat resam masyarakat tempatan dan produk pelancongan lain,” jelasnya.

No comments: