July 2, 2011

Dua faktor menyumbang kepada kekurangan diesel bersubsidi

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata, terdapat dua faktor yang mungkin menyumbang kepada masalah kekurangan bekalan minyak diesel bersubsidi di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarah KPDNKK Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata dua faktor yang dimaksudkan itu ialah projek ‘Community Drumming’ dan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini kerana bagi menampung kuota minyak bersubsidi untuk projek Community Drumming, para pembekal terpaksa mengambil bekalan dari beberapa stesen di kawasan berhampiran untuk dihantar ke kawasan pedalaman.

“Fenomena inilah yang menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan bahan api tersebut di stesen terlibat,” katanya sambil menambah kos untuk projek berkenaan adalah sebanyak RM50 juta setahun.

Selain itu menurut beliau, pihaknya turut mengesan berlaku kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi di beberapa stesen minyak terutama yang terletak di kawasan pinggir dan luar bandar, di mana minyak bersubsidi berkenaan telah dijual untuk kegunaan industri di ladang-ladang berhampiran.

“Justeru kami tidak menolak kemungkinan dua faktor ini merupakan antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya kekurangan minyak diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak di negeri ini,” ujar beliau.

Wan Uzir memberitahu demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Jelajah Exora yang berlangsung di pekarangan pejabat KPDNKK Cawangan Miri di sini semalam.

Beliau menambah kata, berdasarkan aduan diterima daripada orang awam dan juga pemantauan pihaknya mendapati kebanyakan kes yang membabitkan kekurangan minyak bersubsidi ini berlaku di beberapa stesen minyak yang terletak di kawasan pinggir bandar.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil kerana kebanyakan ladang terletak di kawasan luar bandar dan sudah pasti mereka akan mendapatkan bekalan minyak bersubsidi untuk kegunaan industri memandangkan harganya lebih murah, walhal mereka tidak layak mendapatkannya (subsidi),” ujar beliau.

Untuk mengukuhkan bukti katanya, penggunaan (jualan) minyak di sesebuah stesen minyak di kawasan luar bandar melebihi kuota yang ditetapkan sedangkan jumlah kenderaan di kawasan tersebut amat sedikit dan tidak setanding dengan jumlah minyak yang dijual.

Sehubungan itu katanya, pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan menyeleweng minyak bersubsidi.

Menurut Wan Uzir, mereka yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh didakwa mengikut Akta Kawalan Bekalan 1946 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan yang dilakukan individu dan denda RM250,000 oleh kesalahan yang dilakukan syarikat.

Justeru katanya, bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan bahan api itu, kerajaan kini telah menambah kuota sebanyak dua juta liter minyak diesel bersubsidi setiap bulan kepada 138 juta liter berbanding hanya 136 juta liter sebelum ini.

1 comment:

yusuflaili(Goku) said...

Baguslah mcm tu...menyusahkan rakyat saja..baik denda dgn jumlah lebih besar lagi biar dia rasa...