December 4, 2011

Kerajaan perlukan sokongan kaum Penan

MIRI 2 Dis. - Masyarakat Penan diingatkan supaya sentiasa bergerak dan menyokong rancangan kerajaan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan berbanding kaum lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau menegaskan, masyarakat Penan juga tidak sepatutnya terpengaruh dengan hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya mahu menaik taraf kehidupan mereka.

Jelasnya, jika kaum Penan terpengaruh dengan hasutan dan agenda politik pihak terbabit, mereka akan berdepan pelbagai masalah.

"Kerajaan komited untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada setiap masyarakat dan bahagian negeri ini.

"Apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah kekal bersatu, teruskan sokongan terhadap kerajaan dan bekerjasama dengan kaum lain memajukan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pecah tanah tapak baru rumah panjang masyarakat Penan di Long Lubang, Ulu Tinjar, dekat sini semalam.

Projek itu membabitkan pembinaan rumah panjang 50 pintu yang bakal dilengkapi dengan kemudahan asas serta boleh dihubungi menggunakan jalan balak menaiki kereta pacuan empat roda.

Dalam pada itu, Ngau turut mengucapkan tahniah kepada penduduk kawasan itu kerana mampu mengorak langkah ke arah kemajuan jika dibandingkan dengan masyarakat Penan di kawasan lain.

"Saya amat kagum dengan kejayaan penduduk di sini walaupun terpaksa berdepan dengan banyak kesukaran dan cabaran, anda semua tetap mahu maju dengan adanya hasrat untuk mempunyai tempat tinggal yang baik.

"Ini harus menjadi contoh kepada penempatan Penan lain dan bukannya mendengar dakyah individu atau kumpulan tertentu," tegasnya.

Terdahulu, Penghulu Long Lobang, Gabriel Keling yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Daerah Marudi melahirkan rasa gembira dengan lawatan Ngau yang disifatkan sebagai yang pertama dilakukan wakil rakyat kawasan berkenaan.

Beliau seterusnya memohon pertimbangan kerajaan untuk mewujudkan jawatan Penghulu bagi lebih 10 rumah panjang Penan di Tinjar di samping mewujudkan sebuah Pusat Perkhidmatan Penan.

No comments: