KUCHING: Agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memberi bantuan kepada golongan miskin, termasuk e-Kasih diingatkan agar membuat pemeriksaan lapangan.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, ia bagi memastikan hanya penerima yang betul-betul layak menerima bantuan.
“Walaupun nama mereka tersenarai dalam e-Kasih tetapi data dalam e-Kasih itu juga perlu diperjelaskan kesahihannya.
“Maka itu agensi bertangungjawab perlu membuat pemeriksaan lapangan,” katanya melalui sistem pesanan ringkas kepada Utusan Borneo di sini, baru-baru ini.
Fatimah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa penduduk rumah panjang yang mengadu bahawa pemohon yang sepatutnya tidak layak mendapat bantuan mendapat bantuan, termasuk guru.
Bagaimanapun kata Fatimah, isu berkenaan sedang diberi perhatian oleh Pejabat Pembangunan Sarawak(SDO).
Dengan itu kata beliau, pemohon yang benar-benar layak tidak akan ketinggalan untuk mendapat bantuan kerajaan itu.
Pelaksanaan e-Kasih yang diperkenalkan pada 2007 merupakan bantuan kerajaan yang disalurkan kepada rakyat miskin.
Semua Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 (bandar) atau RM1,000 (luar bandar) sebulan adalah layak dan digalakkan untuk mendaftar.
No comments:
Post a Comment