December 25, 2011

Capai objektif pembangunan: KM

KUCHING: Kerajaan akan terus bertindak dengan lebih dedikasi bagi memastikan rakyat negeri ini dapat mencapai objektif pembangunan mengikut perancangan.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata sejak bertahun lalu, pendekatan pengurusan pragmatik dan fleksibel telah membolehkan negeri ini kekal berdaya saing dan menghadapi cabaran.

“Kita amat berbangga kerana negeri ini mampu mencapai pembangunan yang kini menjadi salah sebuah negeri yang paling aktif di negara ini.

“Bagaimanapun perjalanan di hadapan masih penuh dengan cabaran. Maka itu kita mesti mengekalkan momentum pertumbuhan supaya negeri boleh memulakan pembangunan ekonomi lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru.

Taib dalam pada itu mengingatkan rakyat agar tidak terusik dengan pertelingkahan politik serta isu remeh-temeh yang tidak memberi sebarang manfaat, sebaliknya sentiasa kekal bersatu.

Selain itu kata beliau, rakyat perlu mengambil kesempatan ke atas pembangunan sumber tenaga yang ditawarkan negeri ini termasuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), sebagai strategi untuk mempercepatkan pembangunan khasnya di luar bandar.

Beliau berkata, dalam jangka masa panjang pembangunan itu akan menyediakan pekerjaan dan peluang perniagaan yang lebih luas dan bermanfaat kepada rakyat.

“Ia adalah jelas dalam fikiran saya bahawa rakyat kita perlu menerima manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada usaha-usaha pembangunan kita.

“Bagaimanapun mereka yang menerima manfaat ini bukan lagi melalui pemberian tetapi melalui latihan serta disiplin, kerja gigih, ketekunan, integriti dan tabiat kesederhanaan,” tegas beliau.

Dengan itu rakyat akan dapat merebut peluang yang diwujudkan kerajaan melalui proses pembangunan dengan kebolehan serta kapasiti mereka sendiri, katanya.

Taib turut memberitahu bahawa pendidikan dan khidmat akan menjadi elemen penting kepada industri baharu di Sarawak untuk memperolehi kemahiran baharu yang dikehendaki industri pada masa akan datang.

Dari situ ujarnya, Sarawak kemudian bukan sahaja melahirkan modal insan untuk memenuhi keperluan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan di SCORE tetapi yang diperlukan di seluruh dunia terutama rakan-rakan negara membangun.

Berhubung sambutan Hari Krismas ini, beliau berkata sudah menjadi kebiasaan kepada Sarawak setiap kali perayaan menganjurkan rumah terbuka kepada sahabat-handai yang berlainan agama untuk berkongsi kegembiraan dan kesejahteraan.

“Agama sentiasa dilihat sebagai inspirasi terbaik kepada kita.

“Oleh itu kita mampu membina rumpunan muhibah semula jadi di kalangan kita tanpa mengira etnik dan agama,” kata beliau.



No comments: