KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan meletakkan lebih ramai calon muka baru di kalangan orang muda yang memenuhi kriteria calon boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata Datuk Seri Najib Razak.
Presiden UMNO mengakui langkah itu adalah keperluan bagi mengukuhkan barisan parti dan meletakkan UMNO sebagai parti dinamik serta sedia membawa perubahan.
“Kita sedang semak dan calon sedia ada, kita akan lihat prestasi sebagai wakil rakyat. Jika baik diberi peluang sebab bila kita anjurkan konsep winnable candidate, kita tidak letakkan tempoh penggal perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO Ke-62, semalam.
Perdana Menteri juga mengesahkan ada wakil rakyat sudah menemuinya untuk menyatakan hasrat berundur dan sanggup memberi laluan kepada muka baru.
“Saya harap calon lama akan menyokong calon baru seperti ketika mereka naik ada orang sokong dia... dia naik sebab ada orang beri laluan padanya. Jadi, bila tiba masanya dia berundur atas kepentingan parti dia akan sokong parti dan perlu terima hakikat dulu dia terima sokongan orang lain,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mengumumkan calon lebih awal, Najib berkata: “Pengumuman calon tidak boleh terlalu awal atau lewat, kita sedang mencari masa yang sesuai kerana jika terlalu awal ada masalah lain,” katanya.
Sambil mengakui sudah mendapatkan sedikit bayangan mengenai bila pembubaran Parlimen dan DUN, Pengerusi BN itu berkata, persiapannya juga sudah dilaksanakan, malah beliau dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah beberapa kali turun padang.
“Kita mahu membentuk kerajaan yang kuat kerana majoriti dua pertiga adalah ideal, tetapi yang penting majoriti selesa atau kerajaan yang kuat,” katanya.
Mengenai keyakinan tidak akan berlaku sabotaj terhadap parti, beliau berkata, ikrar dan baiah oleh perwakilan menggambarkan kesediaan berkhidmat kepada parti.
Mengulas kebimbangan perwakilan mengenai kesukaran jentera membantu calon memenangi pilihan raya, Najib berkata, BN akan cuba membantu meleraikan kesangsian dan menjelaskan kepada pengundi mengenai isu semasa.
“Untuk itu, kita perlu masa untuk mengkaji lebih mendalam dan mengambil langkah terbaik bagi meyakinkan pengundi,” katanya.
Berhubung peluang BN menawan semula empat negeri, Najib berkata, parti yakin merampas semula negeri berkenaan, tetapi BN tidak pernah memandang mudah kekuatan pembangkang.
“Bila kita hendak mengambil alih sesebuah negeri, ia memerlukan strategi yang lebih hebat daripada biasa,” katanya.
Ditanya mengenai perjalanan perhimpunan agung kali ini, beliau melihat persidangan ini sebagai tanda pemulihan sepenuhnya dan kebangkitan semangat baru UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2008.
“Sudah ada satu kesedaran bahawa kita berhadapan cabaran besar, tetapi berkat perjuangan kita barisan yang ampuh dengan komitmen tinggi, insya-Allah kita mampu hadapi sebarang ujian,” katanya.
No comments:
Post a Comment