December 28, 2011

Sarawak mula dilanda banjir

KUCHING: Sarawak mula dilanda banjir semalam apabila seramai 2,057 orang mangsa banjir telah dipindahkan melibatkan tiga bahagian iaitu Kuching, Samarahan dan Sibu.

Bahagian Samarahan men-catat rekod paling ramai mangsa banjir dipindahkan iaitu se-ramai 1,519 orang melibatkan empat pusat pemindahan.

Pegawai Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri (MKN) semalam memberitahu, empat pusat pemindahan mangsa banjir di bahagian Samarahan ialah Kompleks Sukan Asajaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Kelali Semera, SK Terasi dan Surau Kampung Rangawan, Sadong Jaya.

Katanya, seramai 576 orang mangsa dipindahkan di Kompleks Sukan Asajaya melibatkan 143 keluarga terdiri daripada penduduk sekitar Asajaya.

“Manakala seramai 751 orang mangsa melibatkan 203 keluarga dipindahkan ke SK Haji Kelali Semera,” katanya sambil menyatakan bahawa mangsa-mangsa terlibat adalah dari Kampung Semera.

Sementara itu, seramai 162 mangsa melibatkan 24 keluarga dipindahkan ke Surau Kampung Rangawan melibatkan penduduk dari kampung terbabit.

Manakala 30 mangsa ditempatkan di SK Terasi yang melibatkan sebanyak 12 keluarga dari kampung itu.

“Selain bahagian Samarahan, turut terjejas banjir semalam ialah beberapa kampung di sini (Kuching) melibatkan dua pusat pemindahan dengan 160 mangsa di-pindahkan,” katanya.

Kampung paling teruk terjejas banjir di sini semalam ialah Kampung Beradek dengan sejumlah 50 keluarga terlibat iaitu 100 mangsa dipindahkan di SK Beradek.

Sementara 60 mangsa melibatkan penduduk Kampung Tengah Sungai, Batu Kawa dipindahkan.

“Selain bahagian Kuching dan Samarahan, bahagian Sibu juga dilanda banjir kilat sema-lam dengan seramai 378 orang mangsa dipindahkan ke SK Bukit Arif, Sibu,” katanya.

Mangsa-mangsa terlibat itu adalah merangkumi 55 keluarga terdiri daripada penduduk sekitar kawasan terbabit.

Setakat jam 6.00 petang semalam, kesemua mangsa terlibat banjir masih berada di pusat-pusat pemindahan sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Semua mangsa yang terlibat banjir itu akan dibenarkan balik ke rumah masing-masing jika keadaan banjir terkawal dan rumah mereka dipastikan selamat,” katanya.

Sementara itu di Simunjan, ratusan orang dikatakan terkandas di Kilometer 20 Jalan Bukit Punda apabila kawasan itu dinaiki air setinggi dua meter.

Banyak kenderaan dikatakan tersadai di tepi jalan apabila gagal melalui kawasan terbabit.

Sementara itu terdapat la-poran menyatakan bahawa insiden tanah runtuh berlaku di Jalan Sangan, Tatau, manakala Jambatan Sungai Arip di Balingian ditenggelami air.

Dalam pada itu, air sungai yang semakin meningkat ekoran hujan berterusan dilepas-kan ke laut sekitar 7.30 malam kelmarin.

Jurucakap pengurusan baraj memberitahu pintu baraj di-buka sekitar 7.30 malam bagi pelepasan air sungai ke laut.

Menurutnya, setakat jam 6 petang semalam, paras air laut masih tinggi iaitu 10.8 meter berbanding paras air sungai, 10.1 meter.

“Sekarang paras air laut sedang menurun, kita kini bersedia untuk membuka baraj sekitar jam 7.30 malam ini (sema-lam) bagi pelepasan air sungai ke laut untuk mengurangkan paras air Sungai Sarawak,” kata-nya ketika dihubungi.

Tambahnya, paras air Sungai Sarawak masih dalam keadaan paras terkawal.

“Di Kuching, paras air sungai masih dalam keadaan normal dan kami sentiasa melakukan pemantuan dari segi paras air sungai di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat ke tahap jingga.

Hujan lebat di kawasan Kuching yang mula turun pada malam 24 Disember dijangka berterusan hingga hari ini.

Kawasan yang menerima hujan lebat ialah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Serian, Simunjan, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Sarikei, Bintangor, Pakan, Julau, Mukah, Dalat, Matu dan Daro.



Read more: http://www.theborneopost.com/2011/12/27/sarawak-mula-dilanda-banjir/#ixzz1hs4FAUCd

No comments: